Belanjawan untuk rakyat, belanjawan daripada rakyat


Hadri Shah

Belanjawan Kerajaan Pakatan Harapan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

AWAL pagi Sabtu lalu, saya berada di Anjung Singgah menyediakan sarapan pagi buat penghuni-penghuninya. Ketika manusia lain ghairah berlabun tentang soal untung rugi belanjawan kerajaan era Malaysia baharu, lain pula suasana di situ — lebih tenang dan tidak bercelaru.

Barangkali mereka tidak peduli  —  apa sekalipun, hidup mesti diteruskan. Bukan selamanya semua penghuni dibenarkan berteduh di sana.

Yang sudah bekerja mesti menyimpan secukupnya untuk menyewa bilik kelak. Yang belum, mesti lebih keras mencari pekerjaan. Kalaupun tidak mampu menyewa, sekurang-kurangnya, perut tetap perlu diisi.

Semasa mereka beratur mendapatkan sarapan di dewan makan, saya terjumpa satu pautan berita atas talian bertajuk “RM1,000 terlalu kecil untuk bayar PTPTN, kata aktivis (Adam Adli)”.

Sudah lama kiranya tidak mendengar kenyataan seorang anak muda paling “merbahaya” di Malaysia ini.

Adam, seperti yang diberitakan dalam portal berkenaan nampaknya tidak senang dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan bayaran balik PTPTN kepada pelajar yang sudah menerima gaji bermula RM1,000.

Di akhir berita itu Adam berkata: “Tidak perlu terkejut sangatlah, biasalah janji politik. Kita tidak boleh harap sangat dan jangan kita berpaut pada janji yang sedemikian rupa.”

Saya tersenyum selepas membaca kenyataan terakhir Adam.

Kalau kita tidak boleh mengharap kepada kerajaan baharu, mengapa Adam, antara aktivis muda menghasut seluruh rakyat menumbangkan kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) dan menggantikannya dengan kerajaan PH?

Selama ini pun, masyarakat tetap percaya bahawa idea romantis demokrasi akan bertambah baik saat kerajaan silih bertukar ganti walaupun kenyataannya tidak sebahagia itu.

Dengan kekerapan menukar kerajaan, demokrasi menurut masyarakat, akan berputar dalam kitaran yang sihat.

Kesannya, ahli-ahli politik tidak akan “melepak” dalam zon selesa mereka.

Mereka akan lebih galak berusaha, berlumba-lumba antara satu sama lain menawarkan idea, memperbaiki perkhidmatan dan sentiasa berhujah mencari penyelesaian yang lebih relevan kepada masyarakat.

Selang lima tahun, kerajaan tetap akan dipilih.

Masyarakat tetap menyepakati bahawa nasib negara mampu berubah di tangan-tangan elit politik (baca: kelompok kecik yang memiliki kuasa terbesar) sebagai agen perubahan.

Jordan Flaherty, seorang jurnalis, produser dan penulis buku terpenting tahun 2016 terbitan AK Press bertajuk “No More Heroes” nampaknya tidak bersepakat dengan pandangan begini.

Menurut Jordan, sejarah seringkali memartabatkan sosok-sosok heroik (baca: ahli politik, raja, sultan dan kelas pemerintah) kerana keperwiraan mereka menyelamatkan nasib sesebuah masyarakat.

Namun, sejarah juga gagal membesarkan cerita-cerita klasik mengenai potensi masyarakat bebas dalam mengatur, mengurus kehidupan komuniti mereka tanpa struktur pemerintahan berbentuk hierarki.

Di rumah, di kedai kopi tempat kita bersosial, di sekolah, juga di institusi-institusi pendidikan tinggi, masyarakat dididik bahawasanya untuk melukis panorama sebuah perubahan, kita memerlukan pemerintah  —  sekelompok kecil elit yang menguasai seluruh kehidupan kita.

Kita digelapkan tanpa menyedari adanya alternatif lain yang lebih efektif. Barangkali ini yang kita, Adam dan aktivis politik lain tercicirkan.

Masyarakat disibukkan untuk mencari-cari sosok heroik yang kaya dengan idea populisnya yang menawan, berbanding bersama-sama mencari idea terunggul.

Akhirnya, masyarakat mengeluh  —  politikus rupa-rupanya tidak boleh diharap! Ironinya, masyarakat mengulangi kitaran yang sama.

Soalnya, sampai bila kita harus memilih jalan raya ketika kerajaan leka menyelingkuh atau berbaris berbantah di luar Parlimen saat kerajaan tidak menepati janji politiknya dan keputusan mereka tidak mengamankan perut kita?

Benar, protes atau demonstrasi mengalirkan tenaga yang mampu memberdaya sesuatu. Tetapi bukankah yang lebih besar citanya, yang lebih radikal dan melawan ialah menemukan sebuah program yang lebih adil dan menyeluruh?

Belanjawan negara, baik pada zaman kerajaan lama atau kerajaan baharu, merumuskan dua perkara.

Satu , antara kerajaan dan pembangkang, masing-masing melawan mulut bahawa salah satu antara mereka “mencuri”, “meniru” format dan idea belanjawan pihak lawan.

Najib Razak dengan tenangnya mengatakan belanjawan PH tidak menumpukan kepada golongan “vulnerable” seperti kaum nelayan dan petani.

Najib dengan bangganya menyatakan pada zamannya dahulu, kaum ini diberi keutamaan. Tetapi hujah begini bukankah juga pernah dipakai pembangkang lima tahun lepas?

Dua,  belanjawan kerajaan tidak mampu menggembirakan semua kelompok masyarakat. Pasti ada yang tertinggal, tak kurang juga yang mendapat mendapat tempat peruntukan. Yang tertinggal mungkin mengalami kerugian. Lebih malang, nasib mereka ditinggalkan.

Ini membenarkan satu perkara; pengagihan dari kelas kecil yang memiliki kuasa mutlak tidak mampu membereskan kehendak dan keperluan keseluruhan masyarakat.

Jalan penyelesaiannya?

Kembalikan masyarakat ke dalam fungsi sebenar mereka.

Libatkan mereka dalam keputusan-keputusan besar yang mempengaruhi kondisi ekonomi dan sosial.

Masyarakat diperlukan untuk aktif dalam menentukan sendiri keperluan-keperluan mereka.

Siapa lagi yang lebih layak dalam menentukan apa yang perlu-apa yang tidak melainkan sebuah tataan masyarakat yang percaya kepada demokrasi langsung?

Apa yang membezakan belanjawan negara dua hari lepas dengan belanjawan di Porto Alegre, sebuah daerah di Brazil, adalah metadologinya.

Porto Alegre tidak mengharapkan menteri kewangan membentangkan rancangan-rancangan pembahagian peruntukan.

Sebaliknya, setiap tahun, beribu anggota masyarakatnya turun ke dewan untuk berdebat, membincangkan dan berkeputusan secara demokratik membahagikan-bahagikan bajet perbandaran untuk kepentingan umum.

Ini bermakna, sama ada kamu seorang petani, jurutera, cikgu, lelaki atau wanita, beriman atau tidak, kamu mempunyai suara yang selayaknya memberi idea dan pandangan dalam memperkasakan keadaan kehidupan.

Proses “participatory budgeting” ini ternyata lebih efektif. Jurang antara miskin dan kaya dapat dikurangkan kerana semua anggota masyarakat bersama-sama berkeputusan dalam berkongsi dan menikmati dasar yang menguntungkan keseluruhan anggota perbandaran.

Tahun 2008, Bank Dunia melalui kajiannya “Brazil: Toward a More Inclusive and Effective Participatory Budget in Porto Alegre,” menyimpulkan “participatory budgeting” yang dimulakan sebelum 1996 membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kota-kota di Brazil.

Kajian yang sama mengamati akses yang lebih baik kepada air dan sanitasi di semua bandar yang menggunakan proses “participatory budgeting”.

Manakala kertas kerja 2013 dalam “Pembangunan Dunia” mendapati “participatory budgetting” tidak meningkatkan jumlah keseluruhan perbelanjaan modal oleh majlis perbandaran Brazil, walaupun ia berubah dari segi peruntukan dana awam.

Bandar-bandar menggunakan “participatory budgetting” cenderung membelanjakan lebih banyak untuk kesihatan dan sanitasi.

Bandar-bandar Brazil dengan proses penyebaran partisipatif juga menyaksikan penurunan statistik secara ketara dalam kematian bayi.

Kejayaan penganggaran partisipatif di Porto Alegre memberi inspirasi kepada 1,500 contoh belanjawan penyertaan di seluruh dunia. Projek pembiayaan partisipatif berfungsi untuk menyebarkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Kanada.

Porto Alegre dan 1,500 pekan/kota yang berswakelola dalam memerintah komuniti masing-masing berjaya membawa mesej yang jelas; tanpa kerajaan yang dipimpin elit politikus, masyarakat mampu menguruskan kehidupan sendiri.

Bahkan sistem “participatory budgetting” atau self-governance ini lebih relevan ketimbang sistem sedia ada.

Apakah selepas ini, kita akan berlari-lari mendapatkan kawan, jiran tetangga, rakan sepejabat duduk berdiskusi merancang menolak penglibatan negara dan menggantikannya dengan idea radikal yang lebih demokratik?

Tidak. Saya tidak rasakan semudah begitu.

Kerana ini masih lagi dianggap sebuah Utopia, masih “too good to be true” — setidaknya buat bangsa yang sedang asyik dihiburkan dengan pergaduhan dalaman parti politik dan masih lagi beromantisme dengan alasan bahawa segala janji yang tidak boleh ditepati hari ini adalah disebabkan dosa Najib, Rosmah Mansor dan Jho Low. – 6 November, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen