FACEBOOK menyekat kira-kira 30 akaun dalam platform media sosialnya dan 85 akaun dalam rangkaian perkongsian gambar Instagram menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS).
Tindakan itu diambil susulan kebimbangan akaun tersebut mungkin ada kaitan dengan entiti asing yang bertujuan untuk campur tangan dalam pilihan raya tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas pihak berkuasa dan agensi perisikan AS berkata mereka tidak mempunyai petunjuk wujudnya gangguan dalam pilihan raya tersebut tetapi rakyat Amerika dinasihatkan agar berhati-hatit terhadap penyebaran berita palsu oleh Rusia.
Satu kajian pada minggu lalu menunjukkan penyebaran maklumat palsu dalam media sosial lebih tinggi berbanding pilihan raya presiden pada 2016.
Pada pilihan raya itu, Rusia dituduh memanipulasi kempen propaganda untuk memastikan Donald Trump memperoleh kemenangan.
“Pada Ahad, pihak berkuasa AS menghubungi kami untuk mengadu tentang aktiviti dalam talian yang dipercayai ada kaitan dengan entiti asing,” kata Facebook dalam satu kenyataan.
“Kami telah mengenalpasti kira-kira 30 akaun Facebook dan 85 akaun Instragram yang dipercayai ada kaitan dengan aduan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa.
“Kita menyekat akaun itu dengan serta-merta dan menjalankan siasatan lanjut.”
Kesemua akaun Facebook itu difahamkan menggunakan bahasa Perancis atau Rusia manakala akaun Instragram yang disekat, kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris dan tertumpu pada perbahasan politik dan selebriti. – AFP, 6 November, 2018.
Komen