KEMENANGAN besar Wee Ka Siong sebagai presiden MCA dan pasukannya menandakan berakhirnya perpecahan yang sekian lama berlaku dalam parti Cina, dan menandakan permulaan era baru bagi komponen Barisan Nasional (BN) itu, kata para penganalisis.
Masa depan MCA kini bergantung kepada keberanian Wee untuk meneruskan pembaharuan, yang masih diingini ahli parti, walaupun dengan cara kurang drastik berbanding yang dicadangkan oleh saingannya, Gan Ping Sieu.
Kekalahan Gan pada pemilihan parti itu tidak bermakna anggota MCA menolak cadangannya, tetapi mereka hanya mahukan pembaharuan dalam cara lebih konservatif dan stabil, kata pengulas politik Koh Kok Wee.
Gan, yang juga naib presiden, berkata beliau akan mengadakan referendum sama ada MCA harus meninggalkan BN sekiranya beliau dipilih.
Tetapi Koh percaya anggota parti akhirnya, akan memilih perpaduan dan kestabilan untuk mengharungi ketidakpastian yang mendatang, dan undi terhadap Wee menandakan hasrat mereka untuk mengakhiri pertelingkahan dalam MCA.
Perpaduan yang jarang berlaku
Koh berkata perpaduan dalam parti itu jarang berlaku dalam tempoh 10 tahun yang lalu.
Terdapat perebutan kuasa pada pemilihan parti 2008, apabila Ong Tee Keat dipilih sebagai presiden dan Dr Chua Soi Lek timbalannya.
Keadaan bertukar sebaliknya pada pemilihan 2010 apabila Chua menyingkirkan Ong, mewujudkan satu puak di bawah bekas menteri kesihatan dan satu lagi di bawah Ong, dan yang ketiga di bawah Liow Tiong Lai yang kemudiannya menggantikan Chua sebagai presiden parti.
Apabila Liow menjadi presiden pada 2013, jawatan tertinggi lain dalam kepimpinan pusat masih dikuasai ahli daripada puak Liow dan Chua, kata Koh.
“Ini bermakna perpecahan MCA dalam tempoh 10 tahun yang lalu gagal menghasilkan kepimpinan yang bersatu padu. Tiada puak dapat menghapuskan yang lain.
“Kali ini, pasukan Wee berjaya memenanginya,” katanya.
Dalam pilihan raya baru-baru ini, semua orang Wee memenangi jawatan timbalan presiden, empat jawatan naib presiden dan 25 jawatan bagi jawatankuasa pusat.
Koh menambah keadaan ini boleh dikaitkan dengan kelebihan Wee sebagai ahli Parlimen tunggal bagi Ayer Hitam, kelayakannya sebagai bekas timbalan presiden di bawah Liow, atau kempen lemah Gan.
“Atau mungkin ahli parti memutuskan untuk menamatkan pertelingkahan antara puak,” katanya.
Bersetuju ke arah pembaharuan
Semua ini tidak bermakna ahli MCA menolak pembaharuan, tambah Koh. Keperluan untuk pembaharuan sukar untuk diabaikan berikutan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan kekalahan MCA, kecuali kerusi Parlimen tunggal yang dipegang oleh Wee.
Sebaliknya, ia adalah mengenai “rentak”, sama ada pembaharuan perlu dilakukan segera dan radikal, atau dijalankan secara beransur-ansur.

Dan MCA, dengan sebahagian besar anggotanya yang konservatif dan berhati-hati daripada persatuan Cina, perniagaan dan persatuan perdagangan, memilih yang kedua.
“Keseluruhan MCA agak konservatif. Pembaharuan radikal, walaupun ia dapat menghidupkan kembali parti, mungkin juga menyebabkan seluruh struktur parti runtuh. Ini mungkin apa yang banyak difikirkan oleh akar umbi,” kata Koh.
Koh menambah ahli-ahli MCA bercakap tentang pembaharuan sebelum ini, tetapi apa yang membezakannya kini adalah ia turut melibatkan kelangsungan parti.
Untuk melakukan perubahan mendadak pada keadaannya lemah sekarang boleh menyebabkan kematian pramatang.
Pengulas politik lain, Dr Cheah See Kian, bersetuju dengan Koh, mengatakan Gan kalah kerana ahli konservatif.
“Mereka tidak mahukan pembaharuan mengejut.” – 6 November, 2018.
Komen