MUHAMMAD Ikmal Abdul Razak nyaris tersenarai dalam statistik kejadian tragis di flat Projek Rumah Perumahan Rakyat (PPR) selepas kepalanya cedera terkena roda basikal yang dicampak dari tingkat atas bangunan 21 tingkat di Gombak Setia, Kuala Lumpur.
Beliau yang terselamat dengan menerima 15 jahitan bagi kecederaan ke kepalanya, menceritakan pengalaman pahitnya itu.
Hanya 10 bulan sebelum itu, S. Satiswaran yang berusia 15 tahun maut apabila seseorang melemparkan kerusi dari atas di flat PPR di Pantai Dalam. Beliau menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya ketika menunggu bantuan tiba.
Kedua-dua kejadian itu disebabkan perangai buruk, trend yang semakin menjadi-jadi di rumah pangsa kos rendah.
Penduduk juga sering mengadu sampah dibuang dari tingkat atas. Dan setakat ini, tiada siapa ditangkap bagi kedua-dua insiden itu.
Ikmal, yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran makanan bersama teman-temannya di tingkat bawah ketika roda, yang dipercayai daripada basikal kanak-kanak, menghempap bahagian tepi kepalanya.

“Saya sangat terkejut. Saya baharu saja bersalaman dengan dengan rakan saya dan kemudian tiba-tiba ada benda menghempap kepala dan saya tidak dapat ingat apa saya buat.
“Saya berdiri di sana, bertanya kepada rakan-rakan saya apa yang berlaku dan duduk di pinggir jalan,” kata pemuda berusia 19 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
Ikmal bernasib baik kerana seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di tempat kejadian dan beliau dikejarkan dengan van DBKL ke Hospital Kuala Lumpur.
“Saya sedar sepanjang masa tetapi saya terpaksa menenangkan diri walaupun penglihatan saya kabur.
“Ia sangat menyakitkan tetapi saya memberitahu diri saya agar tidak pengsan,” katanya.
Abang Ikmal, Ikram percaya adiknya terkena paku di bahagian tengah roda.
Roda itu dibawa ke balai polis Setapak untuk mengesan cap jari untuk tujuan siasatan.
Ibu Ikmal, Khadijah Abdullah, 51, berkata beliau hatinya luluh melihat keadaan anak keduanya itu tetapi bersyukur beliau terselamat.
“Saya berasa sedih dan marah. Saya harap polis dapat mengenal pasti orang itu dengan segera dan saya mahu beliau dibuang daripada PPR,” katanya.
Bagaimanapun, Satishwaran tidak begitu bernasib baik dan sehingga hari ini, keluarganya masih menunggu jawapan.

Bapanya, S. Satiaseelan, mengeluh kerana pihak polis masih memberikan jawapan yang sama kepadanya, “kes masih disiasat”, walaupun selepas 10 bulan berlalu.
Satiaseelan berkata beliau cuba mencari cara lain untuk mempercepatkan penyiasatan tetapi setakat ini semuanya tidak berhasil.
“Saya cuba mendapatkan peguam melalui bantuan undang-undang tetapi saya diberitahu tiada apa yang boleh dibuat,” katanya.
“Baru-baru ini saya cuba mendapatkan bantuan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil. Beliau meminta nombor pegawai penyiasat itu dan saya berikan kepadanya.
“Kita tunggulah macam mana nanti. Saya tidak tahu kenapa pihak polis mengambil masa yang lama untuk mendakwa individu yang bertanggungjawab itu.”
Pada Mac, polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun. Beliau ditahan dan disoal siasat tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Tiada sambutan perayaan Deepavali tahun ini di rumah Satiaseelan.
“Tiada apa-apa untuk diraikan.
“Saya benar-benar berharap akan ada penutupan dan berharap kesedihan saya akan berakhir apabila keadilan dilaksanakan,” kata bapa yang masih dalam kesedihan itu. – 6 November, 2018.

Komen