SERAMAI 13 pendatang Afrika maut dan 80 lagi berjaya diselamatkan di laut ketika cuba memasuki Sepanyol menaiki dua buah bot dari pantai Afrika Utara, kata pihak berkuasa Sepanyol pada Isnin.
Peningkatan jumlah pendatang cuba memasuki Sepanyol melalui jalan laut atau dengan menyeberang ke wilayah Ceuta di Sepanyol dan Melilla di Maghribi, yang merupakan satu-satunya wilayah Eropah di Afrika.
“Pengawal pantai mengesan dua buah kapal menuju ke semenanjung, dengan 93 orang penumpang, 13 daripadanya malangnya sudah meninggal dunia,” kata delegasi Sepanyol di Melilla dalam satu kenyataan.
Ia berkata sembilan yang mati - semua lelaki - ditemui di laut dan usaha pasukan Palang Merah untuk menyelamatkan empat yang lain juga gagal.
Kedua-dua kapal itu dikesan sejauh 20 batu (32 km) dari pantai Melilla, katanya, tanpa memberikan butiran mengenai keadaan kapal.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), 47,000 pendatang tiba melalui jalan laut di Sepanyol sejak awal tahun ini dan 564 lagi maut atau hilang semasa dalam perjalanan, yang sering berpunca daripada terlebih muatan dan bot yang tidak selamat. – AFP, 6 November, 2018.
Komen