PELAKON terkenal Korea Selatan Lee Jong Suk dihantar pulang dari Indonesia malam ini setelah menyalah guna visa lawatan untuk menghadiri sesi bersama peminat yang sepatutnya memerlukan visa kerja, lapor CNN Indonesia.
Lee antara bintang “Korean Wave” yang pernah membintangi drama hit seperti Pinocchio dan While You Were Sleeping itu ditahan sejak semalam oleh pihak berkuasa Indonesia, pasportnya turut dirampas.
Kepala Bagian Humas dan Umum Direktorat Jenderal Imigrasi Kementerian Hukum dan HAM, Teodorus Simarmata mengesahkan yang Lee bersama-sama pasukannya selama 13 orang akan dihantar pulang ke Korea Selatan malam ini.
Teodorus menambah yang penganjur majlis tersebut yang merupakan sebuah syarikat tempatan, Yes24 akan dipanggil memberi keterangan kerana didakwa melakukan penipuan dalam pelaporan keuntungan majlis.
Portal hiburan, Soompi melaporkan kenyataan agensi Lee, A-Man Project yang menyatakan pelakon itu dan pasukannya sepatutnya meninggalkan Indonesia pada 4 November tetapi ditahan pihak berkuasa negara tersebut.
“Mereka sepatutnya meninggalkan Jakarta pada 4 November. Bagaimanapun, masalah wujud antara cawangan tempatan Yes24 dan pihak berkuasa Indonesia. Kerana (Yes24) melaporkan jualan tiket yang terjual lebih rendah berbanding sebenarnya.” – 5 November, 2018.
Komen