Myanmar bakal terima semula 2,200 pelarian


Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dikritik hebat komuniti antarabangsa kerana dilihat tidak mempedulikan krisis kemanusiaan Rohingya di negaranya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

MULAI 15 Disember, Myanmar akan menerima kumpulan pertama seramai 2,260 orang pelarian, menurut Global New Light of Myanmar memetik pihak berkuasa tempatan Rakhine di Maungtaw, pada Isnin.

Rumah, klinik kesihatan, bekalan air, tenaga elektrik, jalan raya dan kaunter khas bersedia menyambut ketibaan pelarian yang sebelum ini berlindung di Bangladesh.

Menurut agensi berita Xinhua, dalam satu mesyuarat menteri pada bulan Ogos, Myanmar dan Bangladesh bersetuju untuk menghantar pulang pelarian tersebut.

Selain usaha penghantaran balik pelarian, kedua-dua negara juga bersetuju untuk melaksanakan syor Suruhanjaya Penasihat Khas di negeri Rakhine.

Pada 6 Jun tahun ini, Myanmar juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian untuk membantu proses penghantaran balik.

Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) dipercayai melancarkan serangan berulang di pos polis di negeri Rakhine pada 25 Ogos tahun lepas, menyebabkan penduduk terpaksa melarikan diri dan berlindung di kawasan bersempadan dengan Bangladesh. – Bernama, 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen