PERTUDUHAN mahkamah terhadap dakwaan rasuah Musa Aman hari ini boleh dipersoalkan, memandangkan ia dilakukan hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menyerahkan keputusan mengenai dakwaannya yang masih sah sebagai Ketua Menteri Sabah, kata peguam bela utama Amer Hamzah Arshad.
“Kenapa tahan dan dakwa dia sekarang, hanya sebelum Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusannya? Saya harap ini bukanlah satu perkara yang boleh menjejaskan Musa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, “kata Amer.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan pada 7 November untuk mengumumkan keputusannya atas saman yang difailkan Musa bagi pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.
Musa turut mempersoalkan masa tindakan yang diambil terhadapnya hari ini.
Bercakap kepada pemberita di luar kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Adun Sibuga itu mendakwa bahawa beliau telah dibersihkan daripada dakwaan itu di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz ketika pentadbiran sebelum ini.
Nazri pernah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Jabatan Peguam Negara tidak menemui sebarang unsur rasuah dalam keterangan yang diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Saya akan melawan kes ini bagi membersihkan nama saya. Saya tidak tahu mengapa, sedangkan kes-kes ini telah dibersihkan sebelum ini, sekitar 10 hingga 14 tahun yang lalu.
“Kenapa (isu ini muncul) sekali lagi? Ia dibersihkan menteri yang bertanggungjawab pada masa itu, di Parlimen, oleh Nazri Abdul Aziz ... Tidak ada kes terhadap saya,” katanya.
Musa didakwa hari ini dengan 35 pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima RM243 juta sebagai sogokan bagi pemberian konsesi pembalakan kepada lebih 15 syarikat antara tahun 2004 dan 2008.
“Penangkapan Musa tidak akan menjejaskan kelayakannya untuk bertindak sebagai ketua menteri Sabah kerana beliau tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan jenayah.
“Beliau tidak bersalah dan menafikan secara keras terhadap tuduhan ini.
“Tuduhan itu dibuat berdasarkan tuduhan yang dilakukan 10 hingga 14 tahun lalu. Ini seperti satu penganiayaan terancang, “kata peguam itu. – 5 November, 2018.

Komen