Gopal pelik mengapa Musa tak didakwa lebih awal


Alfian Z.M. Tahir

Musa Aman hari ini didakwa dengan 35 pertuduhan korupsi mencecah RM243 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kes yang kuat untuk mendakwa Musa Aman lebih awal tetapi diarah untuk mengugurkannya, kata Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram kepada mahkamah sesyen hari ini.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang bertindak sebagai pendakwa raya khas dalam kes terhadap Musa itu, berkata SPRM sudah lama menyiasat bekas ketua menteri Sabah itu.

“Kes itu bagaimanapun diarahkan tutup kerana sebab yang aneh,” katanya kepada Hakim Rozina Ayob.

Sri Ram turut memberitahu mahkamah yang pasukan pendakwaan akan memanggil dua atau tiga saksi asing ke kandang saksi.

Hari ini Musa didakwa dengan 35 pertuduhan korupsi yang didakwa berlaku antara 2004 dan 2008.

Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM243 juta sebagai balasan memberikan konsesi pembalakan kepada lebih 15 buah syarikat sepanjang tempoh itu.

Musa mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, ikat jaminnya ditetapkan sebanyak RM2 juta yang perlu dibayar secara dua kali ansuran.

Sri Ram kemudiannya memberitahu Malaysiakini yang beliau terkejut mengapa peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail tidak mengarahkan Musa didakwa.

“Pujian wajar diberikan kepada Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan SPRM terdiri daripada Ketua Pesuruhjaya Mohd Sukri Abdull, Timbalannya Azam Baki dan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Kamal Bahrin Omar,” katanya dipetik portal berita itu. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • GE 509 victory for PH. Now is the time to Tangkap penyangak, pencuri dan perosak Negara

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tam Yan Cheng · Ulasan