Saudi hantar satu kumpulan untuk lupus badan Khashoggi


ARAB Saudi mengerahkan ahli kimia dan ahli toksikologi ke Istanbul selepas pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dalam percubaan menutup bukti pembunuhan tersebut, lapor sebuah akhbar Turki hari ini.

Pembunuhan pengkritik Saudi di Konsulat Arab Saudi di Istanbul itu menimbulkan kemarahan antarabangsa.

Pihak berkuasa Turki telah mengeluarkan butiran mengerikan tentang pembunuhan yang disifatkan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai satu pembunuhan terancang.

Pihak berkuasa Riyadh juga mengakui pembunuhan sememangnya dirancang, bagaimanapun ia enggan mengumumkan butiran mengenai kehilangan badan wartawan yang berusia 59 tahun tersebut.

Menurut akhbar harian pro-pemerintah Turki, Arab Saudi menghantar 11 anggota “pasukan khas untuk menutup (kesan kehilangan itu)” ke Istanbul pada 11 Oktober, sembilan hari selepas penyumbang artikel Washington Post itu dilaporkan hilang ketika memasuki kompleks diplomatik Saudi bagi mendapatkan dokumen perkahwinannya.

Laporan akhbar itu berkata ahli kimia, Ahmad Abdulaziz Aljanobi dan pakar toksikologi, Khaled Yahya Al Zahrani, adalah antara “kononnya pasukan penyiasat”, yang melakukan lawatan ke konsulat itu setiap hari sehingga 17 Oktober, sebelum meninggalkan Turki pada 20 Oktober.

Arab Saudi akhirnya membenarkan polis Turki untuk menggeledah konsulat buat kali pertama pada 15 Oktober. – AFP, 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen