INDONESIA melancarkan “audit khas” ke atas operasi Lion Air susulan tragedi maut yang membunuh 189 orang, kata kerajaan hari ini.
Syarikat penerbangan murah itu seringkali menerima aduan kerana perkhidmatannya, jadual penerbangan tertangguh dan masalah keselamatan termasuklah tragedi pada 2004.
Rekod keselamatan juga sedang diteliti sejak pesawat Boeing 737-Max 8 terjunam ke dalam Laut Jawa hanya 12 minit selepas berlepas dari Jakarta Isnin lalu.
“Kami akan mengadakan audit khas ke atas kelayakan krew dan komunikasi kakitangan,” kata Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi kepada wartawan pada Isnin.
“Ini adalah langkah pencegahan…(kemalangan) ini pengajaran sangat mahal untuk kami.”
Pihak berkuasa penerbangan awam di Amerika Syarikat dan Eropah juga akan diminta memberi nasihat dalam siasatan itu, tambahnya.
Sementara itu, pihak berkuasa sudah meluaskan kawasan pencarian ketika mereka mengutip lebih banyak cebisan mayat dan serpihan pesawat di kawasan pesawat itu terhempas dalam perjalanan biasa sejam antara Jakarta ke Pangkal Pinang.
Berpuluh beg mengandungi cebisan mayat sudah dikutip dan dihantar untuk ujian DNA, walaupun setakat ini hanya 14 mangsa berjaya dikenal pasti.
Ketua agensi mencari dan menyelamat Muhammad Sayugi meminta maaf kepada keluarga mangsa ketika desakan bertambah kuat menuduh misi mencari dan menyelamat terlalu lambat.
“Kami bukan manusia sempurna,” katanya sambil menangis. “Kami ada kekurangan, tetapi kami sedang buat yang terbaik.”
Siasatan ke atas Lion Air berlaku selepas kerajaan Indonesia mengarahkan pemeriksaan ke atas semua pesawat Boeing 737 Max 8 yang terdapat di negara itu.
Semua didapati selamat untuk terbang walaupun dua pesawat memerlukan kerja pembaikan kerana masalah “kecil”.
Kementerian sebelum ini menggantung tugas beberapa eksekutif dan juruteknik Lion Air berkata mereka diperlukan pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
Seminggu selepas tragedi itu, masih tiada jawapan mengapa pesawat itu boleh terhempas.
Penyelam sudah menemui kotak perakam data pesawat dari laut tetapi masih mencari perakam suara kokpit- alat utama yang boleh memberikan butiran mengapa pesawat baharu itu boleh terhempas.
Lion Air mengakui pesawat malang itu berdepan masalah teknikal pada penerbangan sebelumnya- dan kapten pesawat memohon untuk berpatah balik ke lapangan terbang beberapa minit sebelum ia terhempas- seterusnya menimbulkan persoalan sama ada terdapat kerosakan khusus ke atas salah sebuah pesawat komersial awam terbaru dan tercanggih di dunia itu.
Tragedi itu juga menimbulkan kebimbangan tentang rekod penerbangan awam Indonesia yang bertahun-tahun dilarang memasuki kawasan udara Kesatuan Eropah dan AS sebelum larangan itu dibatalkan baru-baru ini. – AFP, 5 November, 2018.
Komen