Australia lanjutkan 'visa backpacker' untuk atasi kekurangan pekerja ladang


Perubahan itu adalah usaha berdepan pilihan raya bagi meraih undi sektor pertanian yang berdepan masalah serius kekurangan pekerja susulan dasar imigresen Australia sebelum ini. – Gambar EPA, 5 November, 2018.

AUSTRALIA hari ini mengumumkan yang ia melanjutkan visa bekerja sambil bercuti untuk membenarkan lebih ramai pengembara muda tinggal lebih lama di negara itu bagi memenuhi kekurangan pekerja ladang.

Perubahan itu membolehkan pengembara yang menggunakan “visa backpacker” untuk menetap di Australia sehingga tiga tahun jika mereka menghabiskan sekurang-kurangnya enam bulan melakukan kerja-kerja perladangan dan pertanian.

Sebelum ini visa “Bekerja Sambil Bercuti” membenarkan mereka menetap selama dua tahun sekiranya mereka bekerja di kawasan pendalaman Jajahan Utara.

Sejak Julai 2019, mereka boleh melanjutkan tempoh menetap sehingga tiga tahun sekiranya bekerja sekurang-kurangnya enam bulan di kawasan pertanian yang mengalami masalah kekurangan pekerja.

Peraturan baharu itu diumumkan oleh Perdana Menteri Scott Morrison ketika melawat kawasan pertanian di Queensland, kawasan utama raih undi kerajaan campuran pada pilihan raya Mei depan.

Kerajaan konservatif Australia sejak 2017 mengurangkan skop visa kerja sementara dalam usaha mengekang pendatang.

Tetapi sektor pertanian merungut kerana mereka berdepan masalah kekurangan bekalan pekerja yang meruncing terutama ketika musim menuai terutama di kawasan pendalaman Queensland, menyebabkan perubahan yang diumumkan hari ini.

Lebih daripada 200,000 pemegang visa bekerja sambil bercuti dikeluarkan pada 2017-2018, dengan Britain, Jerman dan Perancis adalah peserta teramai daripada 45 negara yang layak menyertai program itu.

Kajian yang dikeluarkan oleh University of New South Wales minggu lepas mendapati kebanyakan pelajar antarabangsa dan pengembara yang bekerja di Australia mendapat upah di bawah gaji minimum.

“Kajian kami mengesahkan Australia mempunyai kumpulan pekerja asing yang menerima bayaran rendah terbesar dan tidak diwakili,” kata pensyarah UNSW Bassina Farbenblum.

“Jumlah gaji tak dituntut boleh cecah lebih satu bilion dolar.” – AFP, 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen