SEBUAH kumpulan yang terdiri daripada tujuh kumpulan sivil hari ini menggesa Putrajaya meluluskan undang-undang yang mewajibkan ahli politik mengisytihar aset mereka.
Governance, Integrity, Accountability and Transparency (Giat) mahu satu rang undang-undang diperkenalkan untuk menguatkuasakan pengiystiharan tersebut selari dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan ketelusan dalam pentadbiran.
Gabungan itu menyatakan rasa kecewa dengan sedikit maklumat yang didedahkan kepada umum oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tambahan pula, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berulang kali secara terbuka mengesahkan yang ahli Parlimen perlu mengisytihar - tetapi setakat hari ini, agak mengejutkan apabila 34 ahli Parlimen dan 10 menteri Kabinet masih belum mengisytiharkan aset mereka walaupun sudah hampir setengah tahun memegang kuasa,” kata Giat dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Giat, kerajaan mesti bertanggungjawab ke atas orang ramai dan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pengisytiharan aset ini diambil serius.
Kumpulan itu memberi tempoh selama dua minggu kepada ahli-ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka. Sekiranya gagal, nama mereka akan didedahkan.
Giat terdiri daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Sinar Project, Transparency International Malaysia (TI-M), Society for the Promotion of Human Rights, Friends of Kota Damansara dan MyPJ.
Setiausaha Agung TI-M, Muhammad Mohan berkata beliau kecewa mengetahui 10 menteri gagal mengisytiharkan aset mereka.
“Ia ada dalam manisfesto mereka,” katanya pada sidag akhbar di Petaling Jaya hari ini.
“Arahan itu dari ketua mereka (Dr Mahathir) dan tarikh akhir telah diberi, kemudian ditunda dua kali.” – 5 November, 2018.
Komen