Musa Aman hadapi 35 pertuduhan


Alfian Z.M. Tahir

Bekas ketua menteri Musa Aman hari ini memohon dibicarakan atas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2018.

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, hari ini didakwa dengan 35 pertuduhan rasuah melibatkan ASD63 juta (RM243 juta) berhubung konsesi kayu di negeri itu antara 2004 dan 2008.

Adun Sibuga itu memohon perbicaraan terhadap semua pertuduhan di hadapan hakim Rozila Bakar di Mahkamah Kuala Lumpur tengahari tadi.

Musa didakwa menerima rasuah berjumlah RM243 juta sebagai balasan pemberian konsesi kayu kepada lebih 15 syarikat antara 2004 dan 2008. 

Musa didakwa menerima rasuah itu ketika beliau masih memegang jawatan ketua menteri dan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Semua dakwaan rasuah itu dilakukan di Singapura dan Hong Kong dan wang itu dipindahkan ke pelbagai akaun bank yang dimiliki sekutu rapatnya.

Kesalahan yang didakwa di bawah Akta SPRM itu berlaku antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008 dalam bentuk deposit bank ke pelbagai akaun bank tempatan dan antarabangsa.

Hakim Rozina membenarkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin, dan membenarkan Musa menyelesaikan pembayaran jaminan secara dua kali ansuran: RM1 juta hari ini dan selebihnya pada 7 November.

Rozina juga memerintahkan Musa berada di semenanjung sehingga jumlah keseluruhan jaminan itu dibayar.

Rozina turut mengarahkan Musa menyerahkan pasport dan menyelesaikan sebutan kesnya pada 13 Disember.

Musa diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah manakala Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

Musa adalah pemimpin Umno dan penjawat awam kanan yang paling mutakhir didakwa di mahkamah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua setiausaha negara, Irwan Serigar Abdullah, bekas ketua perisikan Hasanah Abdul Hamid dan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, adalah antara mereka yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan setelah Pakatan Harapan memenangi kuasa persekutuan pada bulan Mei.

Kesemua mereka, termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor, didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kesemua mereka memohon perbicaraan mahkamah dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata lebih banyak penangkapan akan dibuat berkaitan skandal 1MDB.

Dua lagi pemimpin Umno, bekas pengerusi Tabung Haji dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor kini sedang disiasat SPRM. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen