ANARKIS Rusia menyatakan rasa takut serangan balik oleh pihak berkuasa selepas serangan bom yang dilakukan remaja anarkis minggu lalu terhadap pasukan keselamatan persekutuan di bandar utara Arkhangelsk.
Seorang lelaki berumur 17 tahun meletupkan dirinya di pejabat agensi keselamatan FSB pada hari Rabu mengakibatkan tiga anggota pasukan keselamatan cedera.
Serangan itu mencetuskan siri siasatan keganasan oleh pihak berkuasa.
Pelajar Mikhail Zhlobitsky didakwa menggunakan nama samaran untuk menyiarkan amaran terhadap serangan itu di dalam sebuah forum anarkis atas talian yang dibina melalui aplikasi Telegram tujuh minit sebelum kejadian berlaku.
Zhlobitsky juga menggunakan nama Sergei Nechayev di platform media sosial VKontakte, ia sempena nama seorang tokoh revolusi Rusia abad ke-19 yang menganjurkan tindakan keganasan di atas nama sosialisme.
Serangan itu menyebabkan kumpulan anarkis negara kini menjadi sasaran ketika kumpulan itu sebelum ini menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa. FSB dalam beberapa bulan kebelakangan ini melancarkan beberapa kes terhadap aktivis-aktivis muda di negara itu.
Anarkis di Rusia mempunyai gerakan yang kecil, ia bagaimanapun mempunyai sejarah yang panjang sejak tahun 1850-an. – AFP, 5 November, 2018.
Komen