ANAK-ANAK lelaki kepada wartawan yang mati dibunuh, Jamal Khashoggi meminta pihak berkuasa Arab Saudi memulangkan jenazah bapa mereka bagi membolehkan pengebumian dilakukan dengan sempurna.
Khashoggi dibunuh di dalam bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul oleh satu pasukan yang dihantar dari Riyadh pada 2 Oktober, di mana presiden Turki berkata pembunuhan itu diarahkan oleh “peringkat tertinggi” kerajaan Arab Saudi.
“Saya sangat berharap apa pun yang berlaku tidak menyeksa dia, atau ia berlaku dengan cepat. Atau dia meninggal dunia dengan tenang,” kata Abdullah Khashoggi dalam satu temu bual dengan CNN pada Ahad di Washington.
Adiknya, Salah berkata “apa yang kami mahu sekarang ialah mengebumikan beliau di Al Baqi, Madinah bersama ahli keluarganya yang lain”, merujuk kepada tapak perkuburan di Arab Saudi.
“Saya sudah memintanya kepada pihak berkuasa Arab Saudi dan berharap ia dapat dilakukan dengan secepat mungkin.”
Ketua pendakwa raya Turki baru-baru ini berkata Khashoggi dicekik sebaik saja memasuki bangunan konsulat itu dan mayatnya dipisah-pisahkan.
Yasin Aktay, penasihat kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam satu artikel disiarkan pada Jumaat memberi bayangan bahawa mayat itu mungkin sudah dimusnahkan dalam asid. – AFP, 5 November, 2018.
Komen