CADANGAN dalam Bajet 2019 untuk pas bas dan tren Rapid tanpa had hanya untuk rakyat Malaysia saja dan akan dilaksanakan menerusi kad pengenalan MyKad dan MyTentera, kata menteri pengangkutan.
Anthony Loke pada sidang akhbar hari ini berkata langkah itu juga bertujuan untuk merangsang jumlah penggunaan pengangkutan awam.
“Ia juga bagi membantu kumpulan B40 dan M40 mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.
Loke berkata cadangan itu yang dijadualkan bermula pada 1 Januari, 2019 akan dilaksanakan menerusi fungsi Touch&Go di MyKad dan MyTentera.
“Tujuan pas RM100 dan RM50 untuk 30 hari untuk bas dan tren Rapid bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang.
“Ia juga akan membantu masyarakat membuat simpanan tambahan,” katanya.
Loke berkata penumpang dari Kajang ke KLCC pada masa ini perlu membayar RM280 sebulan atau RM6.40 sehala (RM5.40 untuk tren dan RM1 bas pengantara).
“Tetapi dengan pas 30 hari, pengguna hanya perlu bayar RM100 dan jimat RM180 sebulan.”
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan belanjawan RM240 setahun untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang.
Rakyat Malaysia diberi pilihan sama ada membayar RM100 untuk kad bas dan tren Rapid tanpa had selama 30 hari atau RM50 untuk perkhidmatan tanpa had bas Rapid saja.
Pilihan tren termasuk LRT 1 & 2, MRT1 dan BRT. Inisiatif itu akan dilancarkan pada awal Disember dan pengguna boleh menggunakan pas itu.
Pada masa ini, jumlah pengguna tren dianggarkan pada 30% daripada 268,000 penumpang setiap hari.
Loke berkata diskaun 50% sedia ada untuk warga emas, pelajar dan rakyat Malaysia kurang upaya masih terpakai.
Namun, pas bas dan tren Rapid itu tidak termasuk komuter KTM berikutan masalah kos dan sistem tiket yang berbeza.
“Perjalanan komuter KTM lebih lama dan kosnya lebih tinggi. Nilai RM100 tidak dapat menampung kos itu. Rapid dan KTM juga mempunyai sistem tiket berbeza dan belum diintegrasikan lagi.
“Tetapi kami sedang mengkaji bagaimana cara dapat mengurangkan kos pengguna komuter juga,” kata Loke.
Sementara itu, kerajaan berharap jumlah jualan pas itu yang baik akan membolehkan penjimatan kos dilakukan.
“Walaupun kerajaan memperuntukkan RM240 untuk ini, jumlah pengguna yang ramai membeli pas itu (lebih 120,000 pengguna) akan mengurangkan subsidi,” katanya.
Bagi pilihan bas dan tren, kerajaan perlu membayar RM12 juta sebulan untuk 120,000 pengguna. Tetapi bagi setiap tambahan 10,000 pengguna, subsidi itu akan turun RM1 juta mengikut skala ekonomi, kata Loke. – 5 November, 2018.
Komen