BANJIR besar dan ribut kencang yang melanda Itali sejak seminggu lalu kini meragut lebih 30 nyawa, dengan 12 daripadanya di pulau Sicily termasuk sembilan dari sebuah keluarga, kata penyelamat semalam.
Pasukan penyelamat berkata keluarga yang sedang bercuti itu terperangkap selepas rumah penginapan mereka ditenggelami air dan lumpur akibat tebing sungai pecah.
“Kami menemui mayat kanak-kanak berusia setahun, tiga tahun dan 15 tahun di sebuah rumah di bandar pantai Casteldaccia di timur ibu kota Palermo. Mangsa lain berusia antara 35 hingga 65 tahun.
Tiga lagi ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat pokok, kata agensi berita Agi.
“Saya hilang semuanya, tiada apa lagi, hanya anak perempuan saya yang tinggal,” kata mangsa yang terselamat, Giuseppe Giordano, 35 kepada wartawan.
Angin kencang dan hujan lebat turut mengorbankan sekurang-kurangnya 20 yang lain pada minggu ini di sekitar Itali, terutama di utara.
Banjir di Sicily turut menyebabkan banyak jalan raya ditutup minggu ini, termasuk sekolah, taman awam dan laluan bawah tanah.
Semalam, tentera dikerah untuk memeriksa keadaan jalan utama di pulau Mediterranean itu.
Agensi perlindungan awam Itali menyifatkan keadaan cuaca yang melanda negara itu minggu ini sebagai antara situasi meteorologi paling kompleks sejak 50 hingga 60 tahun yang lalu. – AFP, 5 November, 2018.
Komen