SEBUAH plak peringatan yang dibawa ke bulan dalam misi Apollo 11 dilelong pada nilai AS$468,500 di Texas, antara sebahagian koleksi besar yang pernah menjadi milik angkasawan hebat, Neil Armstrong, kata pelelong.
Plak itu termasuk representasi modul lunar yang mendarat di bulan pada 20 Julai, 1969.
Sebaik saja ia kembali ke bumi, ia diletakkan di atas kayu sebelum diserahkan kepada Armstrong, manusia pertama menjejakkan kaki di bulan.
Dua lagi angkasawan dalam misi itu, Edwin “Buzz” Aldrin dan Michael Collins turut menerima plak berkenaan setiap seorang.
Dua anak lelaki Armstrong, Rick dan Mark membuat keputusan untuk menjual sebahagian daripada koleksi besar bapa mereka yang meninggal dunia pada 2012. Ia termasuk lebih daripada 2,000 objek.
Hanya sebahagian koleksi itu ditawarkan untuk jualan yang diadakan pada Khamis hingga Sabtu di Dallas, selain dijual secara online.
Dua lagi jualan dijadualkan pada Mei dan November 2019.
Plak cenderamata itu dijual pada harga memberangsangkan, lebih daripada jangkaan. – AFP, 5 November, 2018.
Komen