GOLONGAN petani dan nelayan tetap akan mendapat bantuan khusus kerajaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Katanya, golongan berkenaan tidak perlu risau walaupun tiada peruntukan khusus diumumkan untuk mereka dalam Belanjawan 2019.
Salahuddin berkata, bantuan itu akan diagihkan seawal tahun depan selepas kementeriannya selesai proses pemutihan untuk mengenalpasti individu yang benar-benar layak.
“Memang tiada peruntukan spesifik (untuk golongan petani, pesawah, dan nelayan). Kita sebelum ini sedia dengan proses pemutihan untuk dapatkan bilangan sebenar dalam industri (asas tani).
“Kita tak mahu data-data dahulu dipalsukan dan angka sebenar dapat diperolehi dalam waktu terdekat.
“Saya sasarkan, insentif dapat disampaikan secara bersasar kepada golongan sewajarnya,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Golongan terlibat dalam industri asas tani tidak perlu risau kerana akan menerima insentif berkenaan jika benar-benar terlibat dalam industri.
“Jangan bimbang, kalau benar-benar bertani kalau benar-benar nelayan, selepas pemutihan akan dapat (insentif),” tambahnya.
Insentif untuk golongan berkenaan seperti subsidi baja padi, elaun sara hidup nelayan, dan penyelenggaraan sistem pengairan tidak dinyatakan dalam belanjawan tahun depan.
Ia keresahan di kalangan pekebun dan nelayan yang kini berdepan kesukaran ekoran kejatuhan harga kelapa sawit dan kesukaran menangkap ikan.
Malah jumlah peruntukan untuk kementerian berkenaan menyusut dalam Belanjawan 2019 berbanding Bajet 2018.
Bagi industri perikanan, sebanyak RM 102 bilion diperuntukkan untuk 2018 tetapi merosot kepada hanya RM 86 juta bagi 2019.
Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa, perkembangan itu menunjukkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada sektor pertanian.
Katanya, kerajaan pimpinannya sebelum ini memberi RM6.5 bilion kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah.
Jumlah itu termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan, katanya. – 5 November, 2018.
Komen