Wee Ka Siong diumum presiden baru MCA


Asila Jalil

Wee Ka Siong mengetepikan saingan terdekatnya Gan Ping Sieu dalam pemilihan MCA tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 November, 2018.

WEE Ka Siong berjaya mengatasi Gan Ping Sieu dalam pemilihan Presiden MCA, kata keputusan tidak rasmi malam ini.

Setakat pukul 11 malam, Wee mendahului persaingan sebanyak 373 undi manakala Gan dan Ngoo Teck Keong masing-masing menerima 152 undi dan 0 undi.

Gan, yang merupakan saingan utama Wee, bagaimanapun mengakui kekalahan beliau dalam pemilihan kali ini. Beliau telah mengucapkan tahniah kepada Wee di atas kemenangan itu.

“Saya telah hubungi Wee dan mengucapkan tahniah kepadanya sebagai presiden baru. Saya berharap beliau akan memimpin ahli-ahli di waktu yang mencabar ini dan memupuk bakat-bakat baru untuk parti,” katanya dalam sebuah hantaran di laman Facebook.

Beliau juga berkata masa depan MCA akan bergantung kepada Wee.

Sementara itu, rakan sepasukan Wee, Dr Mah Hang Soon mendahului pengundian bagi jawatan timbalan presiden dengan 359 undi, mengenepikan gandingan Gan, Tee Siew Kiong yang hanya memperolehi 168 undi.

Bagi jawatan presiden, terdapat 636 undi daripada 188 bahagian di seluruh negara.

Bercakap kepada wartawan di pusat pengundian rasmi, Wee mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang mengundi beliau dan timbalannya.

“Walaupun ia masih tidak rasmi, tetapi angka menunjukkan bahawa saya dan Dr Mah telah memenangi jawatan presiden dan timbalan presiden untuk MCA.

“Kedua-dua undi pemilihan dan popular memberi keyakinan kepada kami dan saya harap kedua-dua kami dan seluruh pasukan yang dipilih akan bekerja keras,” kata Wee.

 

Wee berkata kemenangan itu mendapat “sambutan hangat” dan ia menyuntik semangat baru ke dalam parti.

Beliau menambah beliau juga menerima panggilan tahniah dari Gan pada jam 10.30 malam tadi.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden Liow Tiong Lai yang memimpin parti dan menunjukkan pencapaian yang hebat.

“Saya menggesa setiap orang, sama ada mereka yang menang atau kalah untuk bekerjasama dalam parti,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam.

Empat daripada 9 calon yang memenangi jawatan naib presiden ialah Ti Lian Ker, Yew Teong Look, Tan Teik Cheng dan Lim Ban Hong.

Semalam Nicole Wong Siaw Ting dipilih sebagai ketua pemuda MCA, menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan itu dalam parti.

Wong memperolehi 136 undi manakala saingannya Ng Kiam Nam mendapat 82 undi.

Sementara itu, Tan Chee Hiong memenangi jawatan timbalan ketua pemuda dengan 146 undi mengalahkan Naib Pengerusi Pemuda Johor Kang Chong Nge, yang memperoleh 72 undi.

Mengenai sayap wanita MCA, Wanita, semua senarai daripada gandiangan itu memenangi persaingan tanpa bertanding.

Pengerusi penyandang itu Heng Seai Kie mengekalkan kerusi beliau, Wong You Fong sebagai timbalan pengerusi dan empat naib pengerusi adalah Wang Kim Lean, Lim Nget Yoon, Chiew Hong Lan dan Pamela Yong. – 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen