Kekecohan di Keningau kecil, JPP PKR tak ambil tindakan


Jason Santos

Pengerusi JPP PKR Rashid Din mengatakan pihaknya akan pastikan pengundian terus berjalan secara lancar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

JAWATANKUASA Pilihan Raya PKR (JPP) tidak akan mengambil tindakan segera terhadap kekecohan yang berlaku ketika pengundian di Keningau pada hari pertama ia dijalankan di Sabah.

Pengerusi JPP Rashid Din hari ini menyatakan rasa kecewa ekoran kekecohan semalam.

“Pada ketika ini tidak ada tindakan segera, kerana kekecohan tidak begitu serius. Tetapi kami akan terus pastikan proses itu berjalan lancar.

“Pada ketika ini, tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight pada hari kedua pemilihan PKR di Sabah.

Presiden parti, Anwar Ibrahim berikrar untuk tidak melepaskan pelaku-pelaku masalah daripada kalangan ahli parti semasa lawatannya ke Sabah bulan lepas.

Ahli parti dari tiga belas cabang daripada 25 cabang di Sabah akan mengundi pemimpin utama parti itu hari ini.

Semalam, pengundian diadakan di Sandakan, Libaran, Kalabakan, Sepanggar, Tawau, Beaufort, Batu Sapi, Kota Kinabalu, Tuaran, Sipitang, Kota Marudu dan Keningau.

Keputusan pemilihan semalam telah diumumkan, bagaimanapun keputusan Keningau tidak diumumkan. JPP berkata juruteknik memerlukan masa untuk mengeluarkan data dari tablet e-mengundi.

Hari ini, pemilihan bagi cabang Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar akan mengundi sebelum JPP menutup pengundian di Sabah dan menuju ke Sarawak pula.

Calon Timbalan Presiden Rafizi Ramli dijangka menang di Sabah, walaupun penyandang Mohamed Azmin Ali kekal menerajui kedudukan keseluruhan.

Semasa pengundian dijalankan di Keningau, Rafizi mendakwa seorang lelaki cuba menyerangnya apabila orang ramai mula berang kerana tidak dapat mengundi ketika jam menunjukkan pukul 4 petang.

Rafizi terpaksa dikawal ketika keluar dari pusat komuniti yang digunakan sebagai stesen pengundian.

Dia telah menuduh JPP sengaja memilih sebuah pusat komuniti kecil yang tidak memiliki saluran telefon atau sambungan internet yang stabil bagi tujuan pemilihan.

Ketua Polis Keningau Lee Nyuk Kim berkata polis akan menyiapkan siasatannya tidak lama lagi.

“Belum ada lagi tangkapan,” kata Lee, sambil menambah beberapa lelaki telah dipanggil untuk diambil keterangan selepas insiden semalam. - 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen