Putrajaya mahu bina sejuta rumah mampu milik dalam 10 tahun


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan inisiatif FundMyHome.com hari ini berkata sejuta rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 10 tahun dengan kerjasama sektor swasta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 November, 2018.

PUTRAJAYA merancang membina sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan bantuan inisiatif baru dilancarkan FundMyHome.com.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata demikian selepas melancarkan platform hartanah terbaru itu serta memberi jaminan yang rumah itu akan mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah.

“Janji kami tak bermaksud kerajaan akan membina sejuta rumah. Kami akan menyediakan sejuta rumah dalam tempoh 10 tahun, mungkin banyak sedikit.

“Kerajaan tak bina, tetapi sebahagian akan dibina oleh kerajaan. Kebanyakkan datangnya daripada sektor swasta yang akan membina rumah kos rendah dan mampu milik, jumlah sejuta.

“Sektor swasta akan dilibatkan untuk membantu menyediakan rumah ini. Apa yang lebih penting adalah rumah tersebut mampu dimiliki kumpulan pendapatan rendah,” katanya ketika majlis pelancaran di Eco Hill Semenyih pagi ini.

Dr Mahathir berkata di bawah skim FundMyHome, pembeli rumah pertama hanya perlu membayar 20% harga rumah dan kos selebihnya disumbang oleh institusi terlibat yang berkongsi pulangan nilai masa depan rumah tersebut.

“Di bawah skim FundMyHome, pembeli hanya bayar 20% yang sangat rendah dan mampu milik. Ia boleh dari pinjaman bank atau duit mereka sendiri.

“Baki 80% akan dibayar oleh pelabur. Tetapi rumah itu akan dimiliki oleh pembeli bukannya pelabur.”

FundMyHome membolehkan pembeli rumah pertama membayar hanya 20% bayaran, bakinya diselesaikan institusi kewangan yang terlibat. Tetapi, selepas 5 tahun mereka perlu melakukan pembiayaan semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 November, 2018.

Pengerusi Edge Prop, Tong Kooi Ong pula menjelaskan yang FundMyHome adalah skim inklusif kerana ia membantu pemaju menjual hartanah mereka.

“Selain pembeli rumah, ia juga membantu pemaju. Ia termasuklah ejen hartanah. Ia juga mendemokrasikan pemilikan rumah dan merangsang industri perumahan tanpa perbelanjaan atau jaminan kerajaan.”

“Skim ini dibangunkan dengan menggalakkan pembangunan semasa dalam teknologi digital, termasuklah model perniagaan dalam ekonomi perkongsian dan langganan serta platform ‘peer to peer’,” katanya.

FundMyHome dibangunkan oleh EdgeProp Sdn Bhd.

Di bawah konsep itu, pembeli rumah boleh memilih sama ada untuk menjual atau terus tinggal di hartanah terbabit selepas tempoh komitmen wajib 5 tahun.

Mereka yang berhasrat tinggal boleh melakukan pembiayaan semula menerusi FundMyHome.com atau pinjaman biasa bank.

Institusi kewangan yang menyumbang kepada 80% harga rumah adalah Maybank Group dan CIMB. – 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen