SATU perbalahan meletus dalam pentadbiran Najib Razak berhubung lawatan rasmi Emir Qatar ke Malaysia, membayangkan perselisihan antara negara itu dengan jirannya yang diketuai oleh Arab Saudi.
The Malaysian Insight difahamkan Menteri Luar Anifah Aman bertegas Putrajaya akan menerima kunjungan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani pada Oktober ini kerana Malaysia berkecuali dan tidak memihak dalam pertikaian antara negara berkenaan.
Namun Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang juga menteri tugas-tugas khas dan dilihat mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi mahu lawatan itu ditangguhkan sehingga perdamaian dicapai antara negara di Asia Barat.
“Ada perbalahan dan kalau bercakap dari segi diplomatik, Anifah kurang senang dengan keputusan kementerian dan bidang kuasanya dipersoalkan. Emir sudah dijemput dan ia tidak boleh ditangguhkan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
“Kita sebuah negara yang berkecuali dalam pertikaian (mereka), jadi kenapa kita patut tangguh lawatan itu sehingga semua negara terlibat menyelesaikan masalah mereka,” tambahnya.
Sumber itu menarik perhatian bagaimana Anifah lebih berpengalaman berurusan dengan Asia Barat sejak duduk di Wisma Putra pada 2009.
Isu pokok perbalahan dua menteri itu dipercayai ada kaitan dengan pelaburan dari Qatar, negara kaya di Teluk Parsi yang berdepan tekanan sejak awal Jun apabila Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan hubungan dengan negara itu ekoran dakwaan Qatar menaja pelampau.
Anifah, pemimpin kanan Umno yang juga adik kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman, dikatakan ada hubungan rapat dengan kebanyakan kalau pun tidak semua pemimpin Asia Barat. “Beliau berjaya menjadikan Malaysia berkawan dengan semua negara,” kata seorang sumber yang lain.

Hishammuddin dilantik sebagai menteri tugas-tugas khas awal tahun ini namun peranannya hampir tidak dijelaskan walaupun beliau dilihat rapat dengan Arab Saudi, dan menonjol semasa lawatan Raja Salman ke Malaysia pada Februari lalu ketika beberapa pelaburan Arab Saudi diumumkan.
Seorang lagi sumber berkata perdana menteri Najib sudah meminta timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi menjadi perantara dan mengurai kekusutan serta mengendurkan hubungan tegang antara Anifah dan Hishammuddin.
Zahid mengadakan lawatan rasmi empat hari ke ibu negara Qatar, Doha pada Februari. Dalam lawatan itu, beliau menjemput Emir Qatar melawat Malaysia.
Qatar menyalurkan tukaran mata wang yang bernilai bagi Malaysia melalui beberapa buah syarikat negara ini yang terlibat dalam projek infrastruktur di negara itu yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.
Banyak syarikat Malaysia itu termasuk WCT Engineering Bhd yang mengendalikan projek pembinaan bernilai 1.2 bilion riyal Qatar (RM1.4 bilion) bagi Lusail, sebuah bandar raya baru di negara itu.
Sebuah syarikat milik Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Malaysia Airports Consultancy Services Middle East LLC (MACS ME) memperoleh sambungan kontrak menyediakan kemudahan perkhidmatan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan bangunan sampingan.
Qatar yang kaya dengan sumber minyak menempatkan stesen berita satelit Al-Jazeera yang diharamkan di beberapa negara Teluk dan kini termasuk Israel. Malaysia merupakan antara tiga bilik berita bahasa Inggeris untuk Al-Jazeera International sejak 2006. – 15 Ogos, 2017.
Komen