Hati-hati dengan badan pemikir sebar maklumat tak tepat, kata kumpulan AS


Noel Achariam

Kata Think Tanks and Civil Societies Program (TTCSP), berita palsu juga tersebar di media sosial dan tahap celik media yang tinggi sangat penting supaya orang dapat membezakan maklumat yang tidak tepat. – Gambar EPA, 3 November, 2018.

BADAN pemikir mungkin boleh menjadi rujukan wartawan apabila memerlukan “pakar” untuk mengulas mengenai sesuatu berita, tetapi pengamal media perlu berwaspasa terhadap maklumat yang tidak tepat atau berat sebelah yang boleh boleh disebarkan melalui organisasi seperti itu. 

Itu yang diberitahu kepada wartawan dari seluruh dunia dalam satu seminar yang dianjurkan oleh US Foreign Press Centre.

Pengarah Think Tanks and Civil Societies Program (TTCSP) Dr Jim McGann berkata, penting bagi wartawan menyemak fakta dan pandangan yang diberi kepada mereka supaya media tidak dimanipulasi oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu.

“Dalam persekitaran baharu ini ada banyak persoalan mengenai siapa yang boleh dipercayai dan sumber mereka sekiranya ia adalah maklumat yang bertanggungjawab,” kata McGann pada seminar mengenai “Media Literacy and Combating Misinformation” yang dihadiri oleh The Malaysian Insight.

Penyebaran maklumat yang salah ini kini berleluasa di Asia sama seperti di Barat, kata McGann.

“Banyak negara dan orang yang terlibat menggunakan teknologi yang canggih.

“Korea Selatan merupakan negara paling banyak talian di dunia. Di Asia Tenggara - Malaysia, Indonesia, Thailand - ia satu isu di amna-mana saja, dan ia isu besar dan akan terus begitu.”

Berita palsu katanya, juga tersebar di media sosial dan tahap celik media yang tinggi sangat penting supaya orang dapat membezakan maklumat yang tidak tepat.

Tahap kesedaran sudah meningkat sekarang ini, terutamanya selepas liputan meluas mengenai pilihan raya presiden AS 2016 dan campur tangan Rusia dalam pilihan raya itu menggunakan perang teknologi dan maklumat.

“Ada kesedaran luar biasa terhadap apa yang mereka telah lakukan, dan bagaimana mereka lakukannya.

“(Kesedaran itu) sebahagian besarnya (dicipta) oleh wartawan. Itulah pentingnya peranan media dalam mewujudkan kesedaran.”

Meskipun tidak semua badan pemikir mempunyai agenda untuk mengelirukan rakyat, wartawan perlu lebih berwaspada berbanding dahulu.

TTCSP berpangkalan di University of Pennsylvania dan menjalankan penyelidikan mengenai peranan yang dimainkan institusi dasar dalam kerajaan dan masayarakat awam di seluruh dunia.

Ia mengekalkan pangkalan data pelbagai sektor bagi lebih 6,500 badan pemikir di 179 negara dan Global Go-To Think-Tank Index. Global Go-To Think-Tank Index diwujudkan berdasarkan kaji selidik terhadap 7,500 sarjana, penderma awam dan swasta. pembuat dasar dan pemberita, yang menduduki institusi menggunakan kriteria dibangunkan oleh TTCSP. – 3 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen