Dedah dokumen IPIC adalah subjudis, kata Lim


Chan Kok Leong

Lim Guan Eng menyatakan rasa hairannya terhadap mereka yang masih tidak percaya wujudnya skandal dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 November, 2018.

Kerajaan tidak boleh dedahkan dokumen berhubung kaitan syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana ia akan menjadi subjudis, kata Lim Guan Eng.

“Kenapa bercakap mengenai pendedahan kertas IPIC selepas beliau dituduh, sedangkan beliau tahu ia adalah subjudis,” kata Menteri Kewangan kepada wartawan semasa sidang akhbar di Parlimen hari ini.

“Kenapa beliau sendiri tidak dedahkan ketika beliau masih dalam kerajaan. Saya tidak boleh bercakap mengenai IPIC sekarang kerana ia masih dibicarakan di mahkamah, “katanya.

Lim menjawab soalan bekas perdana menteri Najib Razak yang mencadangkan pendedahan dokumen IPIC baru-baru ini.

Mengenai subjek yang sama, Lim berkata kenyataan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat membuktikan terdapat skandal dalam 1MDB.

“Tuduhan DOJ terhadap Roger Ng dan Low Taek Jho, terutama  Tim Leissner yang mengaku bersalah membuktikan bahawa skandal 1MDB memang berlaku.

“Bekas eksekutif kanan Goldman Sachs mengaku melakukan salah laku berkaitan 1MDB, membuktikan wujudnya skandal.”

Beliau menambah dirinya tidak dapat memahami mengapa ada pihak yang mempersoalkan sama ada 1MDB adalah skandal atau tidak walaupun ia telah dibuktikan.

Walaupun Najib menghadapi 38 tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung 1MDB, bekas menteri kewangan itu terus mengatakan bahawa beliau tidak bersalah berhubung perkara itu.

Hari ini, bekas pengerusi 1MDB itu menganjurkan “minum petang” di ibu pejabat Umno dengan penyokongnya. – 3 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen