Putrajaya teliti mekanisme subsidi minyak, kata Guan Eng


Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 November, 2018

KERAJAAN sedang meneliti mekanisme subsidi minyak yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 semalam dan hanya akan mengumumkannya selepas kajian selesai, kata Lim Guan Eng.

“Apa yang pasti mereka yang memandu kereta mewah tidak akan dapat,” kata Menteri Kewangan itu pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Lim mengulas kritikan di media kononnya subsidi minyak untuk kereta 1500cc akan memberi manfaat kepada mereka yang kereta mewah dengan cc yang rendah.

“Kerajaan pada mulanya mahu mensasarkan kumpulan B40 saja tetapi selepas dipertimbangkan kita perluaskan kepada kumpulan M40,” katanya.

Sidang media hari ini diadakan bagi menghuraikan Belanjawan 2019 yang beliau bentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Mengenai perkara lain yang dijelaskan hari ini, Lim berkata kerajaan komited untuk menyatukan fiskal, walaupun ia akan dilakukan lebih tiga tahun. 

“Penyatuan fiskal akan dilakukan lebih dari tiga tahun dari 3.7% (pada 2019), 3.4% (2020) dan lebih rendah daripada 3% pada tahun berikutnya.

“Alasan mengapa kita mahu melakukannya dalam tempoh tiga tahun dan bukannya sekaligus adalah kerana kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan.

“Kami juga mahu mengembangkan ekonomi atau kalau tidak, ia akan bermasalah. Kami tidak mahu perkara itu berlaku walaupun terdapat usaha untuk tidak berbelanja,” kata Lim.

 Beliau berkata antara contohnya ialah pemotongan kos untuk kontrak bernilai RM19 bilion.

“Penanda aras itu adalah penjimatan minimum 10% terhadap projek bernilai RM19 bilion yang ditandatangani oleh kerajaan sebelum ini.

“Jika mereka tidak mahu, kami akan buka semula tender projek.

“Tetapi saya yakin kontraktor akan bersetuju kerana kebanyakan projek ini adalah melalui rundingan terus atau tender terhad di mana harga dinaikkan,” kata Lim.. – 3 November, 2018.

MENYUSUL LAGI 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen