PAKATAN Harapan (PH) hari ini mengumumkan penubuhan sekretariat pilihan rayanya yang diwakili oleh setiap parti dalam gabungan tersebut sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.
Naib Presiden PH Muhyiddin Yassin berkata gabungan parti juga bersetuju menubuhkan pusat operasi sepenuh masa untuk mengumpul maklumat dan sebagai jentera pilihan raya di semua negeri.
“Kita telah memutuskan untuk memberi tumpuan khusus untuk kawasan pilihan raya tertentu.
“Tak perlu saya sebut kawasan mana untuk pastikan kita dapat menang kerusi tersebut,” katanya selepas menghadiri mesyuarat di pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, antara perkara lain dibincangkan ialah pembentukan jawatankuasa di peringkat negeri bagi kawasan Parlimen.
“Ia amat penting untuk kita mengetahui sejauh mana tahap persediaan yang dilakukan oleh anggota kita di kawasan ini (Parlimen).”
Malah, PH juga akan menghantar pasukan pilihan raya bagi memantau persediaan dan menjalankan kerja audit bagi setiap negeri.
“Kita perlu tahu apa kelemahan kita dan barulah kita boleh lakukan penambahbaikan, jadi kita dapat pastikan jentera pilihan raya bersedia.
“Saya ingin menekankan hubungan kerjasama yang baik antara semua ahli parti.
“Kita memang bekerjasama sebagai sebuah gabungan parti untuk mencapai matlamat dan tidak ada istilah kata bekerja untuk parti masing- masing seperti Bersatu, Amanah, DAP dan PKR. Yang ada cuma Pakatan Harapan,” kata Muhyiddin.
Tambahnya, sasaran utama PH adalah menubuhkan kerajaan yang lebih baik dan jujur dan menggantikan Barisan Nasional.
“Kita perlu ketepikan apa sahaja perbezaan dan perlu untuk bertanding dalam pilihan raya dengan menggunakan hanya satu logo saja iaitu PH.” – 14 Ogos, 2017.
Komen