PH yakin dapat rampas Johor


Diyana Ibrahim

PH yakin dapat merampas Johor daripada BN ekoran sokongan rakyat negeri itu yang semakin meningkat terhadap gabungan parti tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Ogos, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) yakin dapat merampas Johor daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ekoran sokongan rakyat negeri itu yang semakin meningkat terhadap gabungan parti tersebut, kata Naib Presidennya Muhyiddin Yassin

Disebabkan itu kata Muhyiddin, Menteri Besar Johor Khaled Nordin semakin  cemas hingga memaksa pemimpin itu membuat kenyataan yang tidak menggambarkan perkara sebenar demi mempertahankan kedudukannya semakin terancam.

“Saya fikir daripada kenyataan menteri besar beliau cukup cemas walaupun dia kata tak perlu bimbang tapi banyak petanda menunjukkan bahawa pengundi di Pagoh dan Johor sudah mengetahui situasi sebenar yang Umno Johor kini sudah sampai ke penghujungnya,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang kenyataan menteri besar Johor yang meminta ahli Umno di Pagoh untuk melupakan Muhyiddin dan bekerja keras untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

Malah presiden Bersatu itu turut menafikan kenyataan Khaled bahawa Johor mungkin akan menjadi seperti Pulau Pinang dimana hak dan kedudukan dan kaum Melayu yang dipinggirkan.

“Saya baca kenyataan menteri besar kata tidak mahu Johor jadi macam Pulau Pinang. Macam mana Johor nak jadi seperti Pulau Pinang yang kononnya masalah orang Islam dan rakyatnya akan jadi lebih susah. Ini tindakan panik yang ada dalam jiwa pemimpin Umno sedangkan kita tahu Johor permasalahannya lebih banyak,” katanya.

Pada masa sama beliau menjamin Johor dibawah PH akan menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding BN dan akan menjadikan Selangor dan Pulau Pinang sebagai rujukan gabungan parti daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah untuk mentadbir negeri itu.

“Dan kalau kita lihat sokongan pada PH kini meningkat, jadi pastinya salah satu negeri yang kita fikir boleh tawan adalah Johor,” katanya sambil menambah walau apa pun serangan dilakukan PH akan terus mara untuk merampas Johor.

Khaled semasa mesyuarat perwakilan Umno Pagoh minggu lalu berkata Johor akan menjadi sebuah negara Islam maju dan bebas daripada agenda liberal DAP.

Memetik laporan oleh Malaysiakini, Khaled berkata mahu mempertahankan Johor dan tidak mahu menjadi seperti Pulau Pinang kedua dimana berteraskan pemikiran liberal hingga hilang identiti bangsa dan agama.

Malah Khaled juga meminta ahli Umno Pagoh untuk tidak terus dibelenggu dengan nostalgia ketika Muhyiddin masih lagi mengetuai Parlimen tersebut. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen