Hutang meningkat bukan kerana 1MDB, kata Najib


Nabihah Hamid

KERAJAAN sepatutnya mengumumkan usaha mencairkan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengatasi peningkatan hutang negara, kata Najib Razak.

Tetapi sebaliknya, kerajaan masih menyalahkan kerajaan Barisan Nasional dan membangkitkan skandal kewangan 1MDB dalam pembentangan Belanjawan 2019 hari ini, kata bekas perdana menteri itu.

“Memang jelas mereka nak menyalahkan kerajaan BN dan juga isu 1MDB. Mereka tak sebut tentang aset 1MDB.

“1MDB banyak aset, kalau kita (jana kewangan dari) aset dan kita tentukan harga yang sebaiknya” katanya, mengulas pembentangan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jelasnya Najib, hutang 1MDB boleh dilupuskan tanpa melanggar undang-undang.

“Cuma saya kata jangan guna isu 1MDB sehinggakan kita lupa bahawa 1MDB ada aset yang boleh digunakan untuk bayar balik hutang,” katanya lagi.

Najib mengulas kenyataan Lim bahawa defisit fiskal pada 2018 dijangka meningkat sehingga 3.7% disebabkan tindakan pentadbiran Barisan Nasional.

Menurut Lim, pentadbiran itu tidak menyediakan peruntukan seperti bayaran khidmat hutang 1MDB sebanyak RM1 bilion. 

Kata Lim, peningkatan itu juga berpunca daripada pengambil alihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor berjumlah RM1.3 bilion dan perbelanjaan prasarana RM1 bilion.

Selain itu, peningkatan itu juga disebabkan projek rel Kementerian Pengangkutan RM1.4 billion serta bayaran balik GST RM3.9 bilion.

Najib seterusnya berkata peningkatan defisit fiskal itu berlaku kerana cukai jualan dan perkhidmatan (SST yang diperkenal kerajaan tidak dapat menampung pemansuhan GST.

“Bila mereka hapuskan GST mereka kehilangan hasil bersih RM44 bilion setahun. SST tahun ini mereka dapat RM5 bilion sahaja. 

“Ada kelompongan, ini sebenarnya yang menghantui menteri kewangan yang sebenarnya isu pokoknya,” katanya.

“Kalau kekal GST segalanya boleh dilakukan termasuk MRT3, High Speed Rail, ECRL dan bantuan seperti BRIM,” katanya lagi. – 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen