Tangkap dalang kacau 'Nothing to Hide 2.0', kata DAP  


Looi Sue-Chern

Dalam kejadian di Dewan Raja Muda Shah Alam semalam, kasut dan botol air dibaling serta suar dinyalakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

PEMIMPIN DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mendesak pihak polis supaya menangkap dalang di sebalik kekecohan yang berlaku semasa forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam semalam.

Kit Siang kesal dengan remaja yang dipergunakan dalam kejadian itu, yang menyaksikan kasut dan botol air dibaling – beberapa daripadanya dibaling ke arah Dr Mahathir Mohamad – sementara suar dinyalakan dan kerusi dicampak di dalam dewan.

“Tindakan juga perlu diambil ke atas dalangnya,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu di Pulau Pinang hari ini.

Anaknya Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden terbabit, malah katanya keutamaan sekarang ialah mencari dalang yang merancang kekecohan semalam.

Kit Siang dan Guan Eng hadir pada forum “Nothing to Hide 2.0” tetapi meninggalkan majlis tidak lama sebelum kekecohan berlaku.

Kit Siang yang juga Ketua Parlimen Pembangkang DAP mendakwa keganasan itu tanda Umno dan Perdana Menteri Najib Razak sedang berada dalam keadaan panik, bimbang kemungkinan bakal kalah dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Berbanding PRU sebelum ini, PH hanya memerlukan 10% undi Melayu dan 5% lagi undi Cina dan India untuk menang. Inilah yang membuatkan mereka panik,” katanya.

Pemimpin PH lain juga mengutuk keganasan itu, dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim memberi amaran akan ada lebih banyak lagi keganasan menjelang PRU14.

Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi , Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Keruak juga mengutuk keganasan yang tercetus. 

Sementara itu, Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie berkata perbuatan sedemikian “harus disekat dan dibetulkan segera”.

“Kegagalan berbuat demikian hanya akan menambahkan lagi kebencian dan perpecahan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, walaupun sayap Wanita MCA menolak serangan berterusan Dr Mahathir terhadap kerajaan pusat, pendirian kritikalnya itu tidak menghalalkan penggunaan keganasan. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen