BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) juga akan disoal siasat polis dari Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Menurut sumber, ia adalah berasingan daripada soal siasat yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID).
“Selepas JSJK, AMLA juga akan menyoal Ng,” sumber itu memaklumkan kepada The Malaysian Insight.
Ng ditahan di Kuala Lumpur selepas waran tangkapan dikeluarkan oleh DoJ yang melancarkan pendakwaan jenayah ke atasnya dan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho.
Turut didakwa ialah seorang lagi bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.
Ketiga-tiga mereka dikatakan bersekongkol mengubah berbilion dolar yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan memberi rasuah kepada beberapa pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.
Leissner telahpun mengaku bersalah ke atas konspirasi mengubah wang haram dan melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara, dan diarahkan membayar AS$43.7 juta (RM118 juta).
Ng akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk didakwa di sana tetapi tidak diketahui bila.
Pengarah JSJK Amar Singh Ishar Singh mengesahkan penangkapan Ng semalam namun tidak memberi butiran lanjut.
Dalam kertas pertuduhan DoJ, Ng disebut sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Low bagi memindahkan wang dari sebuah syarikat British Virgin Islands untuk “membayar” hadiah kepada “Madam”, kod nama yang diberi kepada isteri bekas perdana Najib Razak, Rosmah Mansor.
Ng turut disebut bersama Low, anak tiri Najib Riza Aziz dan Leissner dalam usaha untuk memindahkan dana dari transaksi bon yang kemudiannya digunakan dalam pembuatan filem The Wolf of Wall Street. – 2 November, 2018.
Komen