PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melawat rumah bekas perdana menteri Najib Razak pagi ini hanya bertujuan untuk mengumpul maklumat.
Sumber agensi anti rasuah itu menafikan pegawainya membuat serbuan di rumah itu, tetapi tidak memberikan butiran lanjut tentang maklumat yang dikumpul mereka.
“Ia bukan serbuan. Ia hanya untuk beberapa maklumat. Tak lebih daripada itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Awal hari ini, Timbalan Pesuruhajaya (Operasi) SPRM Azam Baki memberitahu Bernama yang agensi itu menghantar pegawainya ke kediaman Najib yang juga ahli Parlimen Pekan itu untuk mengumpul bukti bagi menyokong siasatan mereka.
“Ada suatu siasatan namun saya tidak bercadang untuk mendedahkannya,” katanya dan enggan mengulas lanjut,” katanya dipetik Bernama.
Lima kenderaan yang dinaiki anggota SPRM dilihat memasuki pekarangan rumah ahli Parlimen Pekan itu pada pagi ini beredar kira-kira 12.30 tengah hari. Mereka tidak dilihat membawa sebarang barangan ketika meninggalkan kediaman tersebut.
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesahkan penahanan bekas jurubank Goldman, Roger Ng Chong Hwa.
Pengarah JSJK Amar Singh Ishar Singh berkata Ng ditahan semalam tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut penangkapan tersebut.
Dipercayai yang Ng sudah di bawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman.
Ng ditahan semalam selepas waran tangkap dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang mendedahkan pertuduhan jenayah ke atasnya dan Low, serta seorang lagi bekas jurubank Goldman, Tim Leissner.
Kesemua mereka dikatakan berpakat menyeleweng berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan merasuah ramai pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.
Leissner sudah mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan melanggar Akta Amalan Korup Asing. Beliau diarah membayar AS$43.7 juta. – 2 November, 2018.
Komen