SPRM tidak akan tahan semula Phee


Looi Sue-Chern

Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh (tengah) bercakap kepada media di luar pejabat peguamnya selepas dibebaskan oleh SPRM hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menahan semula exco Pulau Pinang Phee Boon Poh, kata peguam Ramkarpal Singh hari ini selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengetepikan perintah reman terhadap Adun Sungai Puyu itu.

Ramkarpal berkata perkara itu dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SPRM dalam kes itu.

“Beliau hanya beritahu kami yang mereka tidak ada niat untuk menahan semula Phee,” katanya.

“Ia susulan perintah hari ini yang reman diberikan pada Sabtu lalu diketepikan kerana ia luar kebiasaan. Dalam kata lain perintah reman itu tidak wujud.

“Apa yang kami tahu, tidak ada asas untuk mereka menahannya lagi. Beliau kini bebas,” katanya kepada wartawan.

Peguam R.S.N. Rayer yang turut mewakili Phee berkata pegawai penyiasat SPRM juga berkata agensi itu akan bercakap dengan Phee sekali lagi di pejabat mereka.

“Kami beritahu pegawai terbabit kami akan memberi kerjasama dalam siasatan jika kenyataan lanjut Phee diperlukan. Mereka boleh beri kami notis,” katanya.

Phee ditahan Jumaat lalu, bertegas menyatakan beliau tidak bersalah.

“Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat sebaik mungkin.

“Kita kena bersatu dalam waktu sukar Malaysia, di mana kita perlukan perubahan. Perubahan perlukan pengorbanan. Dan pengorbanan seperti ini, pemimpin kami sudah bersedia demi rakyat untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” katanya kepada wartawan di luar pejabat peguamnya selepas dibebaskan.

Phee, 65, ditahan pada Jumaat ketika memberi keterangan kepada SPRM berkaitan kilang haram di Bukit Mertajam. Beliau menulis surat atas kapasitinya sebagai exco alam sekitar untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang itu.

SPRM menahannya untuk membantu siasatan terhadap dakwaan beliau menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran.

Sementara itu, pengurus kilang haram itu berusia 70 tahun bersama anak lelakinya, 37, turut ditahan.

Mereka bertiga dibawa ke mahkamah pada SPRM dan dikenakan tahanan reman lima hari.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada SPRM mahu memanggil Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi membantu siasatan kes kilang haram itu, Ramkarpal berkata mereka belum dimaklumkan.

Dilaporkan semalam SPRM bercadang menemui Lim dan Adun Penanti Dr Norlela Ariffin, kawasan lokasi kilang haram itu. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen