UMNO sepatutnya lebih bimbangkan kemampuannya mempertahankan Putrajaya bukannya memenangi Selangor, jika ia gagal menjelaskan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada rakyat, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
“Jika mereka gagal yakinkan rakyat mengenai apa yang berlaku berhubung dengan 1MDB, mereka akan hilang Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Azmin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor yang Barisan Nasional Selangor perlu menangani persepsi dicipta pembangkang berkaitan skandal 1MDB bagi memenangi kembali negeri itu.
Tengku Adnan berkata isu 1MDB sudah diselesaikan dan Umno kini perlu memperbaiki tanggapan negatif yang dicipta pembangkang.
Azmin berkata Ku Nan mengakui isu 1MDB penting dalam mendapatkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional.
“Saya tidak rasa mereka boleh yakinkan rakyat. Kami sudah mengambil semua langkah perlu termasuk cabaran undang-undang terhadap ketua polis negara dan saya harap mahkamah akan beri arahan supaya skandal 1MDB boleh dijelaskan kepada rakyat.
“Mereka yang terbabit juga perlu dibawa ke mahkamah,” katanya.
Awal hari ini, Azmin memfailkan semakan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar untuk mendesaknya menahan ahli kewangan Malaysia, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Azmin berkata beliau percaya kepada kematangan rakyat Selangor, tidak seperti Umno dan Ku Nan yang menyalahkan rakyat di negeri itu.
“Saya yakin dengan rakyat Selangor yang tahu apa kebenarannya dan yakin dengan program yang kami jalankan sejak 2008.
“Rakyat mahu mempertahankan kerajaan yang bersih dengan integriti dan mengendalikan ekonomi dan kewangan dengan baik,” katanya.
Tengku Adnan mendesak semua parti komponen di BN Selangor bekerjasama dalam merebut negeri itu daripada pembangkang.
Katanya, BN perlu belajar daripada kesilapan ketika ia hilang Selangor kepada pembangkang dalam dua pilihan raya umum lalu. – 14 Ogos, 2017.
Komen