MENTERI Besar Selangor Azmin Ali hari ini memfailkan cabaran undang-undang terhadap Khalid Abu Bakar bagi mendesak ketua polis negara (KPN) itu menahan ahli kewangan Malaysia, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Azmin berkata peguamnya memfailkan semakan kehakiman mendesak ketua polis negara mengambil langkah sewajarnya untuk mengesan dan membawa Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low berdepan pertuduhan jenayah.
“Tindakan ini untuk memaksa ketua polis negara menjalankan tugas dan tanggungjawabnya yang dinyatakan dalam akta polis. Beliau perlu menyiasat suspek itu yang melakukan kesalahan.
“Ini bukan serangan peribadi terhadap ketua polis tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya mahu memastikan beliau mengambil tindakan,” katanya di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Minggu lalu Khalid berkata Azmin boleh teruskan jika mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, kerana beliau tidak mahu tunduk dengan tekanan untuk menahan Low.
Azmin menghantar notis tuntutan dua minggu lalu meminta Khalid menahan Low yang disifatkan sebagai konspirator utama dalam skandal 1MDB.
Latheefa Koya yang mewakili Azmin berkata surat tuntutan itu diserahkan bagi mendesak KPN mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan dan mengekstradisi Low, dan jika gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.
Azmin berkata beliau sudah memberi banyak notis kepada KPN untuk menangkap Low dan membawanya pulang ke Malaysia.
“Malangnya KPN memberi respons akan jumpa saya di mahkamah. Saya tidak ada pilihan tetapi memulakan tindakan ini supaya mahkamah boleh mengeluarkan perintah kepada KPN.
“Saya harap proses ini dapat berjalan dengan lancar kerana KPN berkata isu 1MDB masih dalam siasatan.
“Saya tidak boleh terima, kerana seluruh dunia dakwa mereka itu terbabit dalam masalah 1MDB tetapi Malaysia masih menjalankan siasatan,” katanya.
Azmin berkata jika benar mereka menjalankan siasatan, maka Low perlu dibawa pulang ke Malaysia untuk disiasat. – 14 Ogos, 2017.
Komen