TIMBALAN Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mat Akin mempertahankan tindakan beliau menggunakan aset kerajaan sewaktu kempen pemilihan PKR.
Calon naib presiden itu berkata beliau bukan sengaja menyalahgunakan kenderaan rasmi tersebut, sebaliknya terpaksa kerana bergegas daripada urusan kerajaan untuk ke majlis kempen di Batu Pahat.
“Saya tiada masalah sebab pada hari tersebut saya baru sahaja sampai daripada lawatan rasmi di Colombia dan pemandu saya jemput (di lapangan terbang).
“Saya dah jangka benda ini akan dibangkitkan sebab saya ada nampak dia ambil gambar. Jadi, tiada masalah sebab sukar untuk saya balik dan tukar kenderaan.
“Justeru, kami terus ke tempat tersebut dari lapangan terbang dan kemudian balik ke pejabat,” katanya ketika mengulas surat aduan yang tular di aplikasi WhatApps.
Pada 30 September lalu, Shamsul dilihat menaiki kereta rasmi kerajaan setelah pulang dari urusan rami kerajaan di Colombia.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu bagaimanapun berkata akur sekiranya menerima tindakan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Beliau turut mendakwa melihat gambar kereta yang dinaiki beliau itu diambil oleh isteri Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani ketika beliau tiba di pusat pemilihan tersebut.
“(Saya) bukan datang ke situ hanya untuk berkempen. Tidak. Memang saya dari program rasmi dan pemandu jemput saya terus ke sana.
“Kita tidak boleh salah guna kenderaan rasmi. Isunya, mengunakan aset kerajaan,” katanya lagi.
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pada Ogos lalu mengarahkan JPP memantau calon yang bertanding supaya tidak menyalahgunakan kuasa dalam usaha meraih kemenangan sepanjang pemilihan parti itu. – 1 November, 2018.
Komen