Mahkamah ketepikan arahan reman exco Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh ditahan reman berkaitan dengan kes kilang haram di Pulau Pinang, tetapi arahan reman itu dicabarnya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini dengan sokongan ramai pemimpin dan penyokong DAP negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 14 Ogos, 2017.

TAHANAN reman lima hari kepada Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua lagi yang disyaki terlibat dalam kes kilang haram diketepikan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Wahab Mohamed mengeluarkan keputusan yang memihak kepada Phee dan dua tauke kilang haram di Bukit Mertajam itu.

Abdul Wahab bersetuju yang arahan tahanan reman yang dikeluarkan Ahad lepas bercanggah dengan Seksyen 117  Kanun Prosedur Jenayah.

“Mereka dinafikan keadilan,” katanya mengakui yang ketiga-tiga suspek tidak dibenarkan bertemu dengan peguam mereka ketika proses reman itu dilakukan.

Abdul Wahab berkata Seksyen 117 CPC mengatakan majistret, dalam menentukan tempoh tahanan orang didakwa, perlu membenarkan perwakilan dilakukan sama ada oleh orang yang di dakwa atau melalui wakil pilihan tahanan (peguam).

Katanya, perkataan “perlu” bermaksud mandatori, yang bermakna tahanan perlu diwakili secara sah oleh peguam yang dilantik.

Phee yang sudah menjadi exco selama dua penggal dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama empat penggal ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan mengenai dakwaan dia menyalah gunakan jawatannya untuk mempengaruhi keputusan.

Dia menulis surat atas kapasitinya sebagai exco alam sekitar bagi meminta penangguhan tindakan diambil ke atas kilang haram di Bukit Mertajam.

Pengurus kilang itu yang berusia 70 tahun, Gan Buck Hee dan anak lelakinya berusia 37 tahun, Edmund Gan, yang merupakan pengarah kilang juga ditahan reman selama lima hari. Mereka juga dibawa ke mahkamah pagi ini bersama Phee.

Mereka ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang tengahari Jumaat lalu dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada Sabtu pagi untuk ditahan reman.

Selepas arahan reman itu dikeluarkan, peguam mereka mendakwa yang arahan reman itu “luar biasa” kerana pendaftar memutuskan untuk meluluskan permohonan reman SPRM tanpa mendengar hujah peguam tertuduh.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut hadir di mahkamah bagi memberikan sokongan dan mendengar permohonan untuk membatalkan arahan reman Phee Boon Poh. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 14 Ogos, 2017.

Peguam Phee, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer serta merta berterima kasih kepada Abdul Wahad kerana keputusan itu dan meminta gari ketiga-tiga tahanan ditanggalkan serta merta.

Ruang bicara mahkamah dipenuhi dengan pemimpin kerajaan negeri dan DAP, termasuklah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang. Ahli keluarga terdekat Phee, serta penyokong dan media yang membuat liputan kes itu turut memenuhi mahkamah.

Pada pendengaran kes untuk mengetepikan arahan reman itu pagi ini, Ramkarpal menjelaskan kepada Abdul Wahab rentetan kejadian yang berlaku pada Sabtu lepas ketika arahan reman itu keluarkan Penolong Kanan Pendaftar (SAR) Ameera Mastura Khamis yang tidak memberikan peluang kepada peguam untuk berbincang dengan anak guam mengenai arahan reman itu.

Katanya, Pendakwaraya SPRM Ahmad Ghazali Muhammad Nazri yang menguruskan permohonan reman pagi itu boleh memberikan kenyataan terhadap apa yang berlaku.

“Ghazali menafikan hak kami untuk menerima arahan daripada anak guam kami dalam pejabat reman, berasaskan yang mereka (tertuduh) sudah diberikan notis di bawah Seksyen 28 (A) Kanun Prosedur Jenayah tentang pengecualian hak tahanan untuk berunding dengan peguam.

“Kesahan notis itu bukan masalah di sini. Apa yang saya bangkitkan dalam bantahan awal (PO) kepada penolong kanan pendaftar ketika dia mengadakan pendengaran itu, dengan persetujuan Ghazali adalah ia (arahan reman) perlu didengar terlebih dahulu sebelum kita membincangkan merit permohonan reman itu.

“Mustahak untuk diingatkan yang semua pihak bersetuju untuk menunda isu merit arahan reman itu sehingga PO dilakukan. Tetapi apabila kami kembali ke pejabat selepas penangguhan pendengaran 25 minit kemudian, SAR sudah memutuskan (mengeluarkan) arahan reman lima hari,” katanya.

Ramkarpal turut berkata yang Ghazali mengakui wujud kesilapan kerana PO tidak berlaku, tetapi SAR bertegas mengatakan keputusannya muktamad dan peguam bela perlu membawa kes itu ke mahkamah tinggi sekiranya tidak bersetuju.

SAR juga tidak mengikuti prosedur ketat Kanun Prosedur Jenayah, jadi Ramkarpal mengatakan dia pasti terkejut sekiranya pendakwaraya SPRM mempertahankan arahan reman itu.

“Bagaimana SAR boleh memenuhi keperluan reman tanpa mendengar (hujah) kami dan tanpa kami mendapatkan arahan daripada anak guam kami?

“Ia satu ketidakadilan,” katanya.

Phee Boon Poh (dua dari kiri) selepas arahan remannya dibatalkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebenar tadi. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 14 Ogos, 2017.

Timbalan Pendakwaraya SPRM Tengku Amir Tengku Abdul Rahman mengakui yang tahanan itu tidak dibenarkan bercakap dengan peguam mereka.

Bagaimanapun, dia berhujah yang ia tidak mencerminkan kesahan arahan reman itu kerana SPRM sudah menyediakan semua dokumen yang diperlukan tentang identiti tahanan, pegawai siasatan dan siasatan untuk mahkamah mempertimbangkan permohonan reman itu.

Dia juga menyentuh cubaan peguam orang yang didakwa untuk mengetepikan arahan reman itu, mengatakan ia seolah-olah mereka cuba membebaskan tahanan.

Menjawab perkara ini, Ramkarpal berkata yang wujud salah faham pada pihak pendakwaraya, menegaskan yang usaha pihak pembelaan hanya mahu mengetepikan arahan reman dan ia tidak bermaksud membebaskan anak guam mereka daripada pendakwaan.

Ahmad Ghazali juga mengatakan: “Majistret tidak perlu mendengar apa yang tahanan perlu katakan bagi menentukan (keputusan) permohonan reman.”

Ramkarpal mengatakan kenyataan pendakwaraya yang mengatakan pihaknya menghantar dokumen ke mahkamah menguatkan hujah mereka yang hanya satu pihak didengar.

Dalam hujah penutupnya, dia berkata sekiranya mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan, lebih baik mahkamah mengisytiharkan semua prosiding arahan reman selepas ini boleh dilakukan secara “ex parte” iaitu untuk kepentingan satu pihak sahaja.

Pasangan bapa dan anak yang menguruskan kilang haram itu diwakili Dev Kumaraendran dan Teh See Khoon. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen