Pertandingan jawatan KLFA tiada kaitan pemilihan PKR kata Nik Nazmi


Nabihah Hamid

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bersaing dalam KLFA tiada kaitan dengan politik kerana beliau dinilai sebagai seorang yang ada idea. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 November, 2018.

TINDAKAN mencabar Rashid Hasnon untuk jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tiada kaitan dengan pemilihan PKR, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi tampil menjelaskan perkara itu kerana beliau menyokong Rafizi Ramli sebagai calon timbalan presiden PKR manakala Rashid pula berkempen untuk kemenangan Azmin Ali dalam pemilihan itu.

Ketua Pemuda PKR itu berkata meskipun masing-masing berada dalam kem berbeza namun tindakan beliau untuk turut bertanding jawatan tersebut hanya untuk menyumbang dalam industri bola sepak.

“Bagi saya ini adalah sebab bola sepak, saya hendak ia dihakimi atas bola sepak semata-mata. Tidak ada persaingan kem,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

Nik Nazmi mengumumkan untuk bertanding menentang Rashid hari ini bagi jawatan presiden KLFA selepas ahli Parlimen Batu Pahat itu mengumumkan pencalonannya semalam.

Beliau berkata timbalan speaker Dewan Rakyat juga pengundi di kawasannya di Setiawangsa dan seorang sahabat yang dikenalinya dengan baik.

“Jadi kita bersaing KLFA tiada kaitan dengan politik atau apa-apa. Saya rasa saya boleh dinilai sebagai seorang yang ada idea.

“Saya ada pengalaman dalam NGO, peringkat akar umbi. Jadi saya nak menyumbang idea di peringkat KLFA,” katanya kepada media di lobi parlimen.

Pemilihan berkenaan yang bermula sejak 23 September kini masuk peringkat akhir dan akan dimuktamadkan hujung minggu ini di Sabah, Sarawak dan Melaka. – 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen