Kementerian Komunikasi lantik akauntan urus kewangan Finas


Asila Jalil

Menteri Komunikasi dan Mutimedia Gobind Singh Deo lembaga pengarah baharu telah dilantik melibatkan individu yang memiliki pengalaman dalam industri perfileman dan perakaunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 November, 2018.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia akan melantik seorang akauntan bagi memperkemaskan sistem kewangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata sistem kewangan dalaman Finas perlu diteliti semula bagi mengelakkan penyalahgunaan dana.

“Saya juga merancang melantik seorang akauntan daripada syarikat yang berwibawa untuk mengkaji dan melaporkan kepada kementerian tentang keperluan sektor kewangan baharu bagi meningkatkan sistem kewangan dan akaunbiliti Finas bagi memastikan tiada lagi kebocoran, kerugian dan isu integriti,” katanya.

Beliau berkata lembaga pengarah baharu telah dilantik melibatkan individu yang memiliki pengalaman dalam industri perfileman dan perakaunan.

“Saya akan mengumumkan lembaga pengarah itu pada minggu depan,” katanya.

Gobind berkata sistem kewangan yang lemah di Finas menunjukkan tiada akaunbiliti untuk sejumlah wang yang besar seperti cukai pendapatan yang berjumlah RM6,213,623 dan RM3,246,004 bagi penilaian tahun 2006 sehingga 2015 dan RM2,126,710 pada tahun 2016.

Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempercepatkan proses siasatan ke atas Finas dan beliau akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara itu.

“Dana merupakan aset penting kepada industri perfileman negara dan perlu digunakan dan disalurkan kepada pihak terlibat secara adil.

“Saya berharap lembaga pengarah baharu akan memperbaiki Finas supaya kita boleh berjaya dalam industri ini tidak hanya di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa,” katanya.  – 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen