Tiada siaran langsung perbicaraan Najib


Nabihah Hamid

Banyak lagi perkara yang boleh jadi liputan RTM, kata Menteri Gobind Singh Deo. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 November, 2018.

KERAJAAN tidak berhasrat menyiarkan secara langsung perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata ia berikutan RTM mempunyai siaran yang terhad. 

“Ini adalah kali kedua soalan sebegini diajukan kepada saya, saya sudah katakan sebelum ini bahawa tidak ada siaran langsung berkaitan pertuduhan Najib. RTM mempunyai siaran yang terhad begitu juga Bernama. 

“Banyak lagi perkara lain yang boleh dibuat liputan di dalam negara, seperti yang saya khaskan, laporan berita mengenai perbicaraannya selalu diadakan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Peguam Najib, Shafee Abdullah sebelum ini menyifatkan cadangan menyiarkan siaran langsung perbicaraan kes Najib sebagai satu idea bernas.

Malah beliau tidak mempunyai sebarang isu mengenai siaran langsung kerana menganggap prosiding melibatkan bekas perdana menteri itu akan dijalankan dengan telus.

Najib berdepan 38 dakwaan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan anak syarikatnya.

Julai lalu, satu  petisyen dilancarkan di Change.org untuk menggesa Gobind menyiarkan secara langsung perbicaraan itu. – 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen