TIADA janji diberikan yang kerajaan akan mengambil kira pandangan Jawatankuasa Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) sebelum Pelan Struktur Kuala Lumpur (KLCP) 2020 digazetkan, kata Khalid Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata walaupun beliau beberapa kali berjumpa dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) itu, tetapi beliau tidak berjanji yang akan mendedahkan rancangan itu untuk penelitian awam dan mengambil kira pandangan mereka sebelum pengazetan.
“Saya perlu jelaskan yang mereka sebenarnya datang ke Pejabat Wilayah Persekutuan dan saya berjumpa mereka.
“Mereka ada memohon sebelum mana-mana pelan digazetkan, tayangan awam diadakan supaya mereka boleh beri komen dan input.
“Saya kata saya akan pertimbangan permintaan mereka tetapi saya tak pernah berjanji akan buat perkara itu,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
KLCP 2020 digazetkan pada 30 Oktober lalu.
Khalid turut mempertahankan tindakan itu, berkata KLCP 2020 berbeza dengan rancangan lain kerana ia sudah dilaksanakan.
Katanya, hanya pelan yang belum dilaksanakan patut ditayangkan kepada umum, seperti pelan untuk 2040 yang akan didedahkan kepada orang awam tahun depan.
Draf KLCP 2020 dilancarkan pada 2008 dan dimuktamadkan pada 2012. Ia tidak pernah digazetkan oleh pentadbiran terdahulu. – 1 November, 2018.
Komen