KERAJAAN kini sedang berbincang dengan pihak berkepentingan dalam usaha untuk melakukan reformasi terhadap undang-undang berkaitan rogol dalam perkahwinan dan dijangka selesai tahun depan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata persidangan meja bulat akan diadakan dan ia melibatkan banyak pihak termasuk Pejabat Peguam Negara dan NGO berkaitan hak wanita.
“Ini bukan kali pertama pertemuan itu diadakan. Kita berjumpa dengan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong mengenai hal ini.
“Jadi kementerian kita akan mula perbincangan meja bulat dan akan buat dalam masa terdekat. Tapi kumpulan wanita ini sudah pun bentangkan kepada menteri undang-undang dan menteri menjelaskan semua pindaan yang mereka nak buat. Yang lain mereka sudah beri untuk tahun depan,” katanya kepada media di bangunan Parlimen hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pernah ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan berkaitan rogol dalam perkahwinan.
“Jawatankuasa itu mengesyorkan peruntukan khusus iaitu jika suami mencederakan isterinya atau meletakkan isterinya atau orang lain dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan tujuan mengadakan hubungan seks, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.
“Pendirian ini tidak bertentangan dengan mana-mana prinsip agama. Dalam konteks ini, apa yang ditekankan adalah kecederaan yang dilakukan oleh suami ke atas isteri,” katanya merujuk kepada Seksyen 375A Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun Yeoh berkata perbincangan mengenai pindaan tidak menjurus kepada seksyen tersebut.
“Pindaan yang kita akan buat untuk penal code (Seksyen 375A) ini, bukan sahaja seksyen ini ada lagi yang lain dibuat bersama-sama supaya pindaan menyeluruh.
Selain itu Yeoh juga menyeru agar wanita yang menjadi mangsa tampil membuat laporan tanpa rasa takut.
“Wanita jangan takut buat laporan. Kita hendak buat dorongan dan galakan kalau ada peristiwa di rumah dimana isteri didera dan dicederakan dan anak-anak dicederakan. Jangan takut kerana ada sistem kebajikan di negara ini yang boleh membantu,” katanya lagi. – 31 Oktober, 2018.
Komen