Calon ketua Pemuda PKR kem Rafizi dahului kem Azmin


Nabihah Hamid

BUAT pertama kalinya, calon ketua Pemuda PKR daripada kem Rafizi Ramli mengatasi dua pencabarnya sejak pemilihan berlangsung di 12 negeri pada 22 September lalu.

Kiraan The Malaysian Insight sebelum ini mendapati, calon kem Mohamed Azmin Ali mendahului untuk jawatan ketua dan timbalan ketua AMK.

Namun, data terbaharu daripada PKR menunjukkan jumlah terkumpul setakat ini meletakkan Akmal Nasir dari kem Rafizi di hadapan dengan meraih 12,000 undi.

Pencabar terdekat dari kem Azmin, iaitu Dr Afif Bahardin memperolehi 11,934 undi – dengan perbezaan hanya 66 undi, menurut data PKR.

Sementara itu, calon ketua Pemuda yang bergerak sendiri, Najwan Halimi tertinggal jauh di belakang dengan 2,620 undi terkumpul. 

Bagi jawatan timbalan ketua Pemuda, regu Afif, Hilman Idham masih mendahului dengan 14,599 undi di hadapan dua pencabarnya Raymond Ahuar dan Naqiuddin Nazrin yang masing-masing memperolehi 7,372 dan 2,740 undi. 

Akmal yang juga ahli Parlimen Johor Bahru berkata beliau akan terus menggembleng tenaga untuk meraih sokongan di Sabah dan Sarawak. 

“Saya berterima kasih dan menghargai sokongan serta semangat sepasukan rakan-rakan AMK (Pemuda PKR) Reformasi Muda dalam keadaan kita berkempen untuk memperkuatkan AMK.

“Kemenangan saya di Semenanjung juga jadi petanda jelas bahawa anak muda tidak mudah untuk tunduk dan longlai kepada habuan, kuasa dan tekanan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight. 

Menurut sumber PKR, Akmal memenangi Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Perak. 

Afif, Adun Seberang Jaya itu pula memenangi Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah. 

Dalam pada itu bagi jawatan sayap wanita PKR, regu kem Azmin masih mendominasi.

Calon ketua Wanitanya Haniza Talha meraih 20,190 undi manakala Fuziah Salleh daripada kem Rafizi memiliki 17,190 undi. 

Untuk jawatan timbalan ketua, Dr Daroyah Alwi turut meninggalkan lawannya dengan undi 19,617, manakala Rodziah Ismail daripada kem reformasi pula hanya mendapat 15,854.

Keputusan bagaimanapun tidak kekal memandangkan pemilihan bakal berlangsung di dua buah negeri lagi iaitu Sabah dan Sarawak. 

Proses pengundian di beberapa cabang yang tertangguh akan dimuktamadkan pada 11 November ini. – 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen