Syed Saddiq tak layan ahli politik masuk persatuan sukan minta peruntukan


Nabihah Hamid

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tiada keperluan ahli politik menyertai bidang sukan sekiranya tidak mempunyai kepakaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2018.

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan ahli-ahli politik yang menyertai persatuan sukan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk meminta peruntukan di kementeriannya kelak. 

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata tiada keperluan ahli politik menyertai bidang sukan sekiranya tidak mempunyai kepakaran. 

“Saya pegang pada prinsip yang sama, kalau seseorang itu ingin mengepalai persatuan sukan dan sebagainya tetapi tiada kepakaran ataupun minat dan hanya kerana kedudukannya, saya nasihatkan mereka tolonglah tolak tawaran tersebut. 

“Sebab utamanya adalah kita nak pastikan landskap sukan tanah air digerakkan oleh peminat sukan dan mereka yang betul-betul berkelayakan. 

“Kalau mereka tetap buat perkara tersebut, tolonglah jangan datang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) minta peruntukan tambahan hanya kerana kedudukan politik,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Ahli Parlimen Batu Pahat dari PKR itu berkata, sekiranya menang jawatan tersebut, beliau tidak akan mencampur-adukkan urusan politik dengan sukan.

Sebaliknya, beliau hanya akan membantu pasukan itu bersinar kembali dalam industri sukan negara, kata Rashid ketika mengumumkan pencalonannya dua hari lalu. 

“Memang timbalan menteri ada kata politik jangan campur dengan sukan tetapi saya tidak akan campurkan isu politik dan akan jadi profesional,” katanya lagi. – 31 Oktober, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen