Polis tahan bekas anggota Al-Qaeda bekerja di Selangor


Alfian Z.M. Tahir

SEORANG bekas anggota Al-Qaeda adalah antara lima individu yang ditangkap dalam satu serbuan polis minggu lepas di beberapa negeri.

Lima individu itu merupakan suspek yang terlibat dalam kegiatan pengganas, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan malam ini.

Bekas ahli Al-Qaeda adalah seorang warga Mesir berusia 50 tahun yang ditahan pada 13 Oktober di Selangor oleh bahagian anti pengganas, Cawangan Khas.

“Lelaki dari Mesir itu adalah anggota Al-Qeda dan terlibat dalam perang di Afghanistan sejak 1988 hingga 1993.”

“Beliau juga mengakui pernah bertemu Osama Laden dan bekerja sebagai pengurus eksekutif di sebuah syarikat di Kuala Lumpur,” kata Fuzi.

Fuzi berkata lelaki itu pernah dipenjarakan di Kanada kerana masuk ke negara itu menggunakan dokumen palsu.

“Beliau masuk ke Kanada, Azerbaijan dan Pakistan menggunakan dokumen palsu dan dipenjarakan di Kanada.”

Polis juga menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana mengugut membunuh seorang diplomat asing dan ditahan pada 20 Oktober.

Tangkapan ketiga ialah seorang lelaki Pakistan di Perak yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pengganas Laskar E-Taiba yang ditahan pada 25 Oktober.

“Lelaki Pakistan itu juga menerima latihan ala ketenteraan daripada kumpulan itu,” tambah Fuzi.

Tangkapan keempat pula melibatkan seorang wanita berusia 32 tahun di Gombak yang memberi dana kepada anggota Islamic State (IS) warga tempatan, Mohamad Wandy Mohamad Jedi, yang meninggal dunia semasa berperang di Syria pada April 2017.

“Sebelum kematiannya, Wandy pernah menerima wang dari wanita ini.”

“Beliau ditahan kerana membiayai kegiatan keganasan,” kata Fuzi.

Tangkapan terakhir, Fuzi berkata dibuat pada 26 Oktober di Sabah, melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun.

Lelaki itu turut membiayai Wandy selain memindahkan wang kepada Muhamad Fudhail Omar yang juga merupakan sebahagian daripada kumpulan IS. – 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen