BEKAS menteri Umno, Ahmad Maslan menafikan beliau menerima lamaran untuk menyertai Bersatu dan sebaliknya akan terus menjadi pembangkang yang berkesan dalam Parlimen.
“Saya tidak dipanggil untuk perbincangan oleh pihak sebelah sana. Saya bukan pihak yang dilamarlah tetapi umum mengetahui Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) telah dipanggil dan mengakuinya,” kata ahli Parlimen Pontian itu.
.“Saya sekarang antara yang aktif di kalangan kawan-kawan yang menjadi ahli Parlimen pembangkang dan saya akan terus memainkan peranan itu dengan aktif.
Beliau juga turut menegaskan segala perbincangan mengenai masa depan parti perlulah dibawa ke Majlis Tertinggi Umno terutama sekiranya ia melibatkan perkara penting dan besar.
“Apa juga keputusan perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi. Keputusan besar dibuat oleh mesyuarat pengurusan. Kemudian dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi,” katanya kepada media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai khabar angin 40 wakil rakyat Umno ingin menyertai Bersatu dan turut disahkan oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen yang ditemui The Malaysian Insight turut berkata tidak tersenarai mendapat pelawaan menyertai kerajaan.
Tiga ahli Parlimen tersebut ialah Jalaluddin Alias, Noraini Ahmad dan Mahdzir Khalid. – 31 Oktober, 2018.
Komen