PERBICARAAN bekas perdana menteri Najib Razak yang dihadapkan dengan 38 pertuduhan jenayah berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan unit-unit berkaitan perlu disiar secara langsung di kaca televisyen, kata peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah.
“Bagi saya ini idea yang bagus. Biar rakyat tahu bagaimana perbicaraan berjalan,” beliau memberitahu pemberita.
“Tiada masalah bagi saya. Saya rasa semuanya mesti telus, tak perlu sembunyi apa-apa.”
Charge.org pada Julai lalu memulakan satu pentisyen memohon Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyiarkan perbicaraan Najib secara langsung. Bagaimanapun, petisyen itu tidak menerima sebarang tandatangan.
Terdahulu, Shafee membantah permohonan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah untuk memindahkan perbicaraan Najib dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ke Istana Kehakiman, Putrajaya.
“Mereka menulis surat mnta pindah ke Putrajaya. Panjang suratnya. Kami balas dengan surat yang lebih panjang yang mengatakan kami menolak. Sepatutnya di sini (Mahkamah KL),” katanya.
“Mahkamah ini lebih besar daripada di Putrajaya. Boleh letak tiga (kompleks mahakamah) Putrajaya di sini. Jadi kenapa nak pindah sana? Putrajaya hanya ada lapan mahkamah.
“Di sini ada 38 Mahkamah Tinggi. Kemudian ada 27 mahkamah sesyen.
“Mahkamah ini lebih besar,” kata Shafee. – 31 Oktober, 2018.
Komen