CALON presiden MCA Ngoo Teck Keong dihalau keluar dari bangunan Parlimen selepas mengadakan sidang media berhubung pemilihan parti itu.
Sidang media tersebut dipercayai diadakan untuk mempromosi dirinya dalam usaha menentang dua lawannya, pemangku presiden MCA Wee Ka Siong dan seorang lagi pencabar, Gan Ping Sieu.
“Jangan undi Wee Ka Siong dan Gan Ping Siue, nanti MCA akan hancur,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen kira-kira jam 3 petang tadi.
Pemimpin Pemuda MCA Beruas itu seterusnya diminta meninggalkan bangunan Parlimen oleh pasukan keselamatan yang turut merampas plakad dengan slogan “Kembalikan Maruah MCA”.
Ini merupakan kali kedua beliau dihalau selepas mencetus kekecohan sama Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, Ngoo mengajak Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam bersamanya untuk membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau juga dilaporkan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan 1MDB sekiranya beliau memenangi jawatan nombor satu dalam parti itu.
Malah, MCA akan menyediakan semua dokumen yang diperlukan kepada SPRM sekiranya terpilih untuk menerajui parti itu, katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
“Saya akan memberikan semua surat dan dokumen MCA yang dikaitkan dengan Najib kepada SPRM. Ini termasuk laporan aliran modal MCA juga,” katanya.
Ngoo berkata demikian merujuk kepada dana pilihan raya 2013 yang diterima MCA daripada bekas perdana menteri Najib Razak. – 31 Oktober, 2018.
Komen