Sebarang kerjasama dengan Pakatan perlukan persetujuan ahli, kata Wee


Andrew Chin

Calon presiden MCA Wee Ka Siong berkata beliau lebih senang sekiranya parti menjalankan peranan sebagai parti pembangkang yang efektif selama beberapa tahun ini. – The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2018.

CALON presiden MCA Wee Ka Siong tidak bersetuju dengan cadangan pesaingnya untuk bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kemungkinan kerjasama.

Wee berkata sebarang bentuk kerjasama MCA dengan pihak lain mestilah “melengkapi” dan menerima kelulusan majoriti ahli.

“Kita sudah jelas menyatakan boleh kerjasama antara parti. Mengapa tidak? Tetapi saya tidak mengatakan siapa yang dipilih untuk bekerjasama atau sama ada kami akan bekerjasama dengan pihak yang paling berkuasa.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk menentukan asas kerjasama. Saya tidak mahu memberikan persepsi MCA teruja untuk mendapatkan kuasa, kita perlu mengelakkannya selagi boleh. Saya fikir MCA harus terlebih dahulu melaksanakan peranannya sebagai parti pembangkang dengan baik,” kata Wee kepada The Malaysian Insight.

Penyang timbalan presiden itu, yang merupakan satu-satunya anggota Parlimen daripada MCA, berkata manifesto pemilihan yang diumumkannya pada 16 Oktober jelas menyatakan kerjasama antara parti akan bergantung kepada isu, dan beliau tidak menolak kerjasama dengan mana-mana pihak melainkan ia mempunyai prinsip tidak serasi.

Wee juga berkata MCA mempunyai ruang berkembang sebagai parti pembangkang, tetapi ia mesti melaksanakan peranan sebagai “semak dan imbang” dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.

“Secara realistik, MCA kini berada dalam pihak pembangkang. Jika kita bekerja keras untuk menjadi parti pembangkang yang konstruktif dan memperoleh penghormati daripada rakyat, menyuarakan isu memberi kesan kepada rakyat yang tidak akan disentuh oleh DAP, maka kita boleh bangkit semula.”

Calon timbalan presiden MCA, Tee Siew Kiong sebelum ini memberitahu sidang akhbar yang beliau dan calon presiden Gan Ping Sieu, akan bertemu Dr Mahathir untuk membincangkan kerjasama jika mereka memenangi dua jawatan tertinggi. – 31 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen